Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan MyCampus Bus Tracker, sistem pintar yang membolehkan pemantauan pergerakan bas, pematuhan had laju dan rekod perjalanan dilaksanakan secara sistematik bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan serta ketelusan perkhidmatan pengangkutan kampus.

Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sistem berkenaan merupakan kesinambungan Projek Tahun Akhir (UNI BUS BUDDY) yang dibangunkan oleh pelajar Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) sebelum dikembangkan menjadi sistem berimpak universiti menerusi kerjasama strategik antara FKMT, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (iCT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Pengangkutan (BTRANS) serta Jabatan Bendahari.

Menurutnya, sistem berkenaan turut menyediakan kemudahan penyaluran aduan oleh pelajar berkaitan perkhidmatan dan pemanduan bas, sekali gus membolehkan maklum balas
disalurkan bagi tujuan pemantauan, tindakan susulan dan penambahbaikan perkhidmatan secara berterusan.

“Selain aspek pendigitalan perkhidmatan, pelaksanaan projek itu turut menerapkan konsep Learn & Earn berteraskan Work-Based Learning (WBL) yang mengintegrasikan
pembelajaran akademik dengan pengalaman kerja sebenar.

“Inisiatif berkenaan juga menyokong pembangunan bakat dan modal insan apabila pelajar yang terlibat diberikan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana serta menerima
biasiswa sebagai galakan untuk terus mengembangkan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran MyCampus Bus Tracker yang diadakan bersempena Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi November 2026 sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Ibu Kandung Suluh Budiman di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil
Shah, hari ini.

Katanya, inisiatif transformasi digital itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan operasi pengangkutan kampus, malah menjadi langkah penting dalam memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan universiti.

Beliau berkata, penggunaan teknologi pintar dalam sistem berkenaan membolehkan pihak pentadbiran memantau operasi pengangkutan dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan risiko manipulasi rekod dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna.

“MyCampus Bus Tracker mencerminkan komitmen UPSI untuk memanfaatkan teknologi digital dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, di samping memastikan setiap urusan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Kita mahu inovasi yang dibangunkan bukan sekadar memudahkan urusan, tetapi turut memberikan manfaat kepada warga universiti serta membentuk persekitaran kampus yang
lebih selamat dan sistematik,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini