Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara, melancarkan keluaran setem khas, Sulaman Manik di Malaysia, di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 6 November 2026.
Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan pengenalan setem serta sesi menandatangani secara simbolik bagi memperingati pelancaran tersebut.
Sesi tandatangan tersebut disertai oleh Khairul Hafizi Naharuddin, Pengarah Kanan, Bahagian Rekaan dan Penyelidikan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia); Haji Khairul Anuar Abdul Azid, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Muhamed Salim Mohd Ali, Presiden Persatuan Filateli Malaysia (PSM) dan Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Pos Malaysia.
Pelancaran tersebut disusuli dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Kelab Setem & Filateli (KESEF). Kedua-dua acara ini diadakan bersempena dengan Minggu Setem dan Siri Jelajah Kelab Setem & Filateli 2026.
Majlis penyampaian hadiah KESEF ini meraikan para pemenang pertandingan yang telah dijalankan sepanjang tahun, termasuk Pertandingan Folio Setem, Pertandingan Pamer Sehalaman (One Page Exhibit), Pertandingan Reka Bentuk Poskad Seni Capan, serta Pertandingan Reka Bentuk Setem Seni Coret (‘Doodle’).
Melibatkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan prauniversiti, serta guru dan murid pendidikan khas, pertandingan-pertandingan ini mengiktiraf pencapaian peserta di samping menggalakkan penglibatan yang lebih aktif dalam dunia filateli.
Seni manik telah lama menjadi sebahagian daripada warisan kraf Malaysia; ia menghiasi pakaian tradisional, barang kemas, beg, hiasan kepala, serta pelbagai aksesori hiasan, malah terus berkembang dalam bentuk baharu menerusi fesyen kontemporari dan produk gaya hidup.
Memerlukan kesabaran, ketelitian, dan kemahiran yang diwarisi turun-temurun, kraf ini mencerminkan nilai seni serta tradisi budaya pelbagai komuniti di seluruh negara. Terbitan setem Sulaman Manik di Malaysia meraikan warisan yang kekal terpelihara serta keunikan seni sulaman manik di seluruh Malaysia, di samping mengajak orang ramai untuk mengenali tradisi budaya antara satu sama lain dan mewariskannya kepada generasi akan datang.




































