Kalau anda fikir power bank 10,000mAh sudah cukup besar, tunggu dulu. HONOR kini memasukkan kapasiti lebih besar daripada itu terus ke dalam sebuah telefon pintar.

HONOR X9e Pro hadir dengan bateri 11,000mAh, menjadikannya telefon pintar HONOR dengan kapasiti bateri terbesar setakat ini. Tetapi bateri besar bukan satu-satunya perkara yang cuba ditawarkan HONOR.

Telefon ini turut membawa ketahanan jatuh sehingga 3 meter, perlindungan IP68, IP69 dan IP69K, kemampuan mengambil gambar di dalam air sehingga 10 meter serta paparan dengan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits.

Pendek kata, X9e Pro bukan telefon yang hanya mahu kelihatan cantik atas meja. Ia mahu digunakan, dibawa ke luar, terkena hujan, digunakan lama-lama dan kalau terjatuhpun masih boleh bertahan.

Selepas menggunakannya, persoalannya bukan lagi sama ada telefon ini lasak atau tidak. Persoalannya, sejauh mana ciri ekstrem yang ditawarkan HONOR ini benar-benar memberi kesan kepada penggunaan harian?

Bateri Besar

Siri HONOR X sudah lama dikenali dengan fokus kepada ketahanan dan bateri. Untuk generasi terbaharu ini, HONOR menaikkan lagi tahap tersebut menerusi X9e Pro.

Bateri 11,000mAh menggunakan teknologi HONOR Lithium Ion Polimer Bateri dan mempunyai jangka hayat sehingga enam tahun. Atas kertas, angka ini memang besar.

HONOR mendakwa ia mampu menawarkan sehingga 66.8 jam main balik video, 164.5 jam mendengar muzik dan 35.6 jam menonton video pendek TikTok.

Lebih menarik, telefon ini turut menyokong 80W HONOR SuperCharge serta 27W reverse charging. Jadi apabila bateri telefon lain sudah hampir kehabisan tenaga, X9e Pro pula boleh digunakan untuk mengecas peranti lain.

HONOR sendiri menunjukkan keupayaan reverse charging ini dengan mengecas peranti seperti iPhone, Apple Watch dan AirPods.

Bagi pengguna yang kerap berada di luar pejabat, bekerja sebagai penghantar, melakukan perjalanan jauh atau gemar bermain permainan mudah alih untuk tempoh panjang, inilah antara ciri yang paling praktikal. Anda mungkin boleh meninggalkan power bank di rumah.

Reka bentuk 

Salah satu perkara yang menarik perhatian ketika menggunakan X9e Pro ialah HONOR masih cuba mengekalkan reka bentuk yang kelihatan seperti telefon pintar biasa.

Rekaan rata memberikan penampilan lebih moden, manakala bonggol kamera di belakang tidak terlalu mengganggu. Pada bahagian belakang pula terdapat kemasan yang tidak mudah menunjukkan kesan cap jari dan habuk.

Pilihan warna untuk pasaran Malaysia termasuk Royal Purple, Dawn Gold, Reddish Brown dan Midnight Black.

HONOR menggunakan Ultra-Bounce Anti-Drop Technology 4.0 pada X9e Pro. Teknologi ini mendapat inspirasi daripada Halo Safety System yang digunakan dalam kereta lumba Formula Satu (F1).

Konsepnya mudah. Apabila telefon terjatuh, struktur dalaman direka untuk membantu mengagihkan tenaga hentakan supaya tidak tertumpu pada satu bahagian sahaja.

HONOR menggunakan struktur berbentuk arch pada bahagian penjuru dan perimeter, pengukuhan logam berkekuatan tinggi serta full-area adhesive bonding.

Paparan pula menggunakan PUR adhesive yang dikatakan mempunyai kira-kira 10 kali ganda ketahanan ricih berbanding adhesive konvensional. Secara rasmi, X9e Pro mampu menahan kejatuhan sehingga 3 meter dan menerima SGS 5-Star Comprehensive Reliability Certification.

Dalam demonstrasi yang diperlihatkan kepada media, HONOR turut menunjukkan ujian ekstrem termasuk tembakan air gun, smash test dan beberapa bentuk hentakan lain. Ini bukan sekadar perlindungan untuk satu sudut telefon.

HONOR mahu keseluruhan struktur peranti lebih tahan terhadap kemalangan harian.

Tahan lasak

Kalau rating IP68 sudah menjadi sesuatu yang biasa kita lihat pada telefon premium, HONOR membawa X9e Pro lebih jauh dengan IP68, IP69 dan IP69K. Telefon ini menggunakan reka bentuk kalis air berbilang ruang, dengan paparan, middle frame dan back cover membentuk bahagian yang dilindungi secara berasingan.

Port USB-C, SIM tray, speaker dan butang turut mempunyai perlindungan sealing tersendiri. Lebih ekstrem, X9e Pro direka untuk menahan rendaman sehingga 10 meter.

HONOR turut mendakwa ia diuji sehingga 100,000 kitaran rendaman dan melalui ujian salt spray selama 24 jam. Dengan kemampuan tersebut, telefon ini turut boleh digunakan untuk underwater photography sehingga kedalaman 10 meter.

Bagi mereka yang selalu berada di luar, aktiviti air, memancing atau bekerja dalam keadaan basah, ciri ini memang memberikan tahap keyakinan tambahan.

Skrin 10,000 Nits 

Sekarang kita masuk kepada satu lagi angka yang agak sukar dipercayai pada telefon kelas pertengahan. HONOR X9e Pro mempunyai paparan 6.8 inci dengan resolusi 2,788 x 1,280 piksel dan refresh rate sehingga 120Hz.

Tetapi perkara paling menarik ialah peak brightness sehingga 10,000 nits. Dalam penggunaan harian, angka ini paling terasa apabila telefon digunakan di luar bangunan.

Skrin lebih mudah dibaca ketika berada di bawah cahaya matahari yang terang, terutama apabila menggunakan Google Maps, membaca mesej atau melihat kandungan media sosial. Ciri ini amat praktikal kepada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan atau barang yang terdedah kepada panas terik matahari.

HONOR turut menyediakan Wet-Hand Touch dan Glove Touch. Jadi skrin masih boleh dikendalikan walaupun tangan basah atau ketika memakai sarung tangan. Ini kecil, tetapi sangat berguna untuk telefon yang memang menyasarkan pengguna aktif di luar.

Selain terang, paparan X9e Pro turut menawarkan refresh rate sehingga 120Hz. Scrolling laman web, media sosial dan animasi sistem kelihatan lebih lancar berbanding paparan standard.

HONOR turut memasukkan 3,840Hz PWM Dimming serta beberapa teknologi Eye Comfort seperti Dynamic Dimming, Hardware-level Low Blue Light, Circadian Night Display dan AI Defocus Display.

Terdapat juga Motion Sickness Relief yang direka untuk mengurangkan ketidakselesaan ketika menggunakan telefon dalam kenderaan.

Kamera 108MP Dengan OIS

Untuk kamera utama, HONOR X9e Pro menggunakan sensor 108MP dengan aperture f/1.75 dan sensor bersaiz 1/1.67 inci. Ia turut dilengkapi OIS serta CIPA 6.0 stabilization.

Kombinasi ini paling berguna ketika mengambil gambar dalam keadaan cahaya rendah kerana kamera memerlukan shutter yang lebih perlahan dan sebarang pergerakan tangan boleh menyebabkan gambar kabur.

Kamera utama itu dilengkapi kamera ultra-wide 5MP dan kamera hadapan 16MP. HONOR juga menambah beberapa fungsi AI seperti:

  • AI Enhanced Night
  • AI Enhanced Zoom
  • AI Enhanced Portrait
  • AI Moving Photos
  • Motion Trail
  • Motion Clone
  • Slow Motion
  • AI Image to Video 2.0

AI Image to Video 2.0 pula membolehkan gambar statik ditukarkan menjadi video menggunakan arahan atau prompt ringkas.

Kamera Bawah Air? Ya, Boleh

Salah satu fungsi yang jarang kita lihat pada telefon kelas pertengahan ialah Underwater Photography. HONOR turut menyediakan Underwater Color Tuning untuk mengurangkan dominasi warna biru dan hijau yang biasa berlaku apabila gambar diambil di dalam air.

Ini menjadikan kemampuan kalis air X9e Pro lebih daripada sekadar ciri keselamatan. Ia boleh digunakan sebagai sebahagian daripada pengalaman fotografi.

Aplikasi AI

HONOR X9e Pro menggunakan Snapdragon 6 Gen 5 Mobile Platform, iaitu peningkatan berbanding Snapdragon 6 Gen 4 yang digunakan pada generasi sebelumnya. HONOR turut memperkenalkan Hummingbird Architecture 2.0 yang direka untuk mengekalkan pengalaman penggunaan yang lancar sehingga 72 bulan.

Tiga teknologi digunakan untuk tujuan ini:

  1. AI Trajectory Compensation
  2. Page-Level Scheduling
  3. Kernel Lightweight Engine

Menurut HONOR, teknologi ini membantu mempercepatkan pembukaan aplikasi, mengoptimumkan proses sistem dan mengurangkan cache latar belakang yang tidak diperlukan.

Ini menunjukkan fokus HONOR bukan semata-mata kepada prestasi maksimum ketika telefon masih baharu.

Apa yang menarik peranti ini juga dilengkapi ciri penjanaan imej kepada video berdasarkan template yang tersedia, siap dengan bunyi latar belakang yang menarik. Boleh lihat contoh dibawah.

Sebaliknya, mereka cuba memastikan pengalaman penggunaan kekal konsisten dalam tempoh yang lebih panjang.

HONOR turut memasukkan beberapa fungsi AI yang mungkin nampak kecil tetapi praktikal.

AI Free Grip membolehkan kedudukan butang panggilan muncul di sebelah kiri atau kanan skrin supaya lebih mudah dicapai ketika menggunakan telefon dengan sebelah tangan.

Ia juga direka untuk mengurangkan risiko telefon terlepas ketika digunakan sambil berjalan atau melakukan aktiviti lain.

X9e Pro turut menyokong Instant NFC Access, yang boleh digunakan untuk akses seperti kad pintu bangunan yang serasi.

Satu lagi perkara yang menarik ialah perlindungan selepas pembelian. HONOR menyediakan 730-day Front & Back Crack Protection yang melindungi bahagian paparan dan kaca kamera belakang.

Perlindungan Liquid Damage juga diberikan selama 730 hari dengan satu pembaikan percuma di pusat servis yang sah jika berlaku kerosakan akibat cecair dalam tempoh tersebut.

Selain itu, terdapat tambahan satu tahun extended warranty tanpa caj. Untuk telefon yang memang mengetengahkan ketahanan, pakej perlindungan sebegini melengkapkan cerita X9e Pro dengan baik.

SPESIFIKASI HONOR X9e PRO

Spesifikasi HONOR X9e Pro
Model HONOR X9e Pro 5G
Skrin 6.8 inci HONOR FullView Display
Resolusi 2,788 × 1,280 piksel
Refresh rate Sehingga 120Hz
Peak brightness Sehingga 10,000 nits
PWM Dimming 3,840Hz
Touch Wet-Hand Touch, Glove Touch
Cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 5
Bateri 11,000mAh
Pengecasan 80W HONOR SuperCharge
Reverse charging 27W
Kamera utama 108MP, f/1.75, OIS, Ultra-Sensing + CIPA 6.0 imej
Sensor utama 1/1.67 inci
Ultra-wide 5MP, f/2.2
Kamera hadapan 16MP, f/2.45
Video/fungsi AI AI Enhanced Night, Zoom, Portrait, Moving Photos, Image to Video 2.0
Kalis air/habuk IP68 + IP69 + IP69K
Ketahanan jatuh Sehingga 3 meter
Underwater photography Sehingga 10 meter
NFC Instant NFC Access
Perlindungan HONOR Rakyat Care+
Front & Back Crack Protection 730 hari
Liquid Damage Protection 730 hari
Extended warranty 1 tahun
Warna Royal Purple, Dawn Gold, Reddish Brown, Midnight Black
RAM/Storan 16GB (termasuk 8GB HONOR RAM Turbo) + 256GB
Dimensi/Berat 203 gram
Harga RM1,899

 

KESIMPULAN

HONOR X9e Pro bukan telefon pintar yang cuba menjadi segala-galanya untuk semua orang. Ia mempunyai identiti yang sangat jelas.

Selain memiliki bateri besar, peranti ini memiliki ketahanan luar biasa dan sesuai digunakan untuk aktiviti lasak seperti mendaki gunung, berkhemah di dalam hutan atau digunakan oleh penghantar makanan.

Dengan 11,000mAh, X9e Pro mungkin antara telefon yang paling sesuai untuk pengguna yang tidak mahu hidup mereka bergantung kepada power bank dan soket elektrik.

Pada masa sama, IP69K dan ketahanan jatuh sehingga 3 meter memberikan keyakinan tambahan kepada pengguna yang aktif di luar.

Apa yang lebih menarik ialah HONOR tidak mengorbankan pengalaman moden untuk mendapatkan ketahanan tersebut. Pengguna boleh terus menggunakan telefon dalam lebih banyak keadaan tanpa terlalu banyak kompromi.

Dan selepas beberapa tahun siri X membina reputasi sebagai telefon kelas pertengahan yang tahan lasak, X9e Pro nampaknya mahu membawa reputasi itu ke tahap yang lebih ekstrem.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini