Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, pada 29 April 2026 telah mengumumkan pelantikan Datuk Shazril Imri Mokhtar dan Datuk Abdul Halim Hamzah sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, serta Mano A/L Verabathran sebagai Pengarah Ganti kepada Datuk Abdul Halim Hamzah, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026.
Pelantikan ini mencerminkan komitmen Pos Malaysia untuk memperkukuh komposisi Lembaga Pengarah dengan kepimpinan berpengalaman dalam bidang telekomunikasi, perkhidmatan awam dan transformasi, selaras dengan aspirasi transformasi berterusan Kumpulan.
Datuk Shazril Imri membawa lebih 28 tahun pengalaman dalam telekomunikasi, strategi dan transformasi perniagaan, dengan rekod kukuh dalam menerajui perubahan organisasi berskala besar serta pengurusan perniagaan berorientasikan keuntungan.
Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia
Berhad, di mana beliau memimpin agenda transformasi syarikat, memperkukuh prestasi kewangan, keanjalan organisasi serta inisiatif berfokuskan pelanggan.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut memegang pelbagai jawatan kepimpinan utama termasuk Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif unifi, serta peranan strategik lain dalam pengurusan prestasi dan strategi.
Datuk Abdul Halim pula membawa hampir tiga dekad pengalaman cemerlang dalam sektor awam, dengan kepakaran mendalam dalam tadbir urus, dasar serta pentadbiran di peringkat nasional. Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, jawatan yang disandang sejak 24 November 2025.
Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri. Pengalaman luas beliau merentasi pelbagai agensi kerajaan akan memperkukuh perspektif Lembaga dalam aspek pematuhan regulatori, keutamaan nasional dan penglibatan pemegang taruh.
Mano A/L Verabathran, yang kembali sebagai Pengarah Ganti, mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, dengan kepakaran dalam infrastruktur telekomunikasi, penyelarasan antara agensi serta dasar strategik.
Beliau kini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) di Kementerian Komunikasi. Antara jawatan terdahulu beliau termasuk Setiausaha Bahagian (Bahagian Antarabangsa), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perdana Menteri, serta Timbalan Setiausaha Bahagian di Kementerian Pengangkutan.
Pelantikan beliau turut menyumbang kepada kesinambungan dan pemahaman institusi, memandangkan pengalaman beliau sebelum ini bersama Lembaga Pos Malaysia. Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan Pos Malaysia dalam membina organisasi yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan, sejajar dengan tujuan kami untuk membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang.






































