Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional,
bersama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Sabah, telah melancarkan
kerjasama perkhidmatan pasport yang inovatif bagi meningkatkan akses dan kemudahan untuk warga negara Indonesia yang menetap di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung pada 17 Januari 2026 di Hotel Tiara, Labuan, dan disempurnakan oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Noorman Effendi.

Turut hadir Ketua Hal Ehwal Konsular, Ibu Irhamna Fithriya; Pegawai Teknikal Imigresen, Bapak Satria Adi Wicaksana; serta wakil-wakil daripada Pos Malaysia.

Kerjasama strategik ini memperkenalkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan efisien,
membolehkan warga Indonesia menghantar permohonan pasport di Kota Kinabalu dan
menerima pasport siap diproses melalui perkhidmatan kurier Pos Laju yang dipercayai di
seluruh Sabah.

Pemohon turut diberikan pilihan untuk menghantar dokumen imigresen mereka ke pejabat pos yang terdekat, seterusnya meningkatkan capaian perkhidmatan untuk masyarakat di seluruh negeri.

Inisiatif ini menyediakan alternatif yang lebih selamat, lancar dan menjimatkan, berbanding
keperluan sebelum ini di mana warga Indonesia perlu mencari penginapan sementara di Kota Kinabalu sepanjang proses permohonan pasport.

Dengan menyingkirkan keperluan untuk tinggal di bandar, perkhidmatan ini dapat mengurangkan kos perjalanan dan penginapan, meminimumkan masa jauh dari pekerjaan dan keluarga, serta menawarkan pengalaman permohonan yang lebih mudah dan praktikal.

Dianggarkan seramai 150,000 warga Indonesia yang menetap di Sabah dan Labuan bakal
menerima manfaat daripada inisiatif ini, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan rentas sempadan serta membuktikan nilai kerjasama efektif antara sektor awam dan swasta.

Selaras dengan inisiatif ini, Pos Malaysia merancang untuk memperluaskan perkhidmatan
tersebut secara berperingkat ke semua pejabat diplomatik dan konsular Republik Indonesia di Malaysia.

Selain Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, peluasan nasional ini akan merangkumi Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Pulau Pinang, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching, serta Konsulat Republik Indonesia Tawau.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini