JETOUR Malaysia telah mengumumkan pelantikan Mohd Azhar Mustaffa Kamal sebagai Pengarah Jualan, yang akan memimpin pertumbuhan jualan di seluruh negara, peluasan rangkaian pengedar serta memperkukuh strategi penglibatan pelanggan.

Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam industri automotif, Mohd. Azhar dikenali sebagai tokoh yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pengedar, meningkatkan kecekapan operasi jualan serta memperbaharui pengalaman pelanggan — menjadikannya aset utama dalam perkembangan JETOUR di Malaysia.

Pelantikan Mohd Azhar dibuat pada saat penting ketika JETOUR giat memperluaskan kehadirannya di Malaysia susulan pelancaran operasi pemasangan tempatan yang bermula pada Jun 2025.

Dalam tempoh hanya tiga bulan, lebih 1,000 kenderaan telah diserahkan kepada pelanggan dan lebih 2,000 tempahan diterima – satu petanda jelas terhadap permintaan kukuh bagi rangkaian SUV jenama ini. Rangkaian pengedar JETOUR turut berkembang kepada 20 pengedar sah di seluruh negara, dengan sasaran mencapai 30 cawangan menjelang akhir tahun.

Pelantikan ini menandakan tekad JETOUR untuk terus memperluas bahagian pasaran sambil membina asas pertumbuhan yang mampan dalam salah satu sektor automotif paling kompetitif di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, Fu Yong berkata, pelantikan Mohd Azhar merupakan langkah strategik bagi JETOUR Malaysia. Beliau dikenali sebagai pemimpin berwawasan yang menggabungkan strategi jangka panjang dengan penglibatan langsung serta kepimpinan melalui kerjasama, ketahanan dan inovasi.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, pembelian kenderaan bukan sekadar soal mobiliti, tetapi lambang gaya hidup dan rasa bangga menjadi sebahagian daripada jenama yang diyakini.

“Bagi saya, kepimpinan ialah tentang memperkasakan orang lain untuk mencapai kejayaan. Saya mahu melihat JETOUR Malaysia dikenali bukan sekadar melalui kenderaan yang kami hasilkan, tetapi juga melalui kepercayaan, inovasi dan nilai yang kami berikan kepada setiap pelanggan dan rakan niaga.

“Lebih daripada sekadar menjual kenderaan, ia adalah tentang membina hubungan yang bermakna dan berkekalan,” katanya.

JETOUR sebagai jenama berasaskan gaya hidup yang seiring dengan falsafah globalnya,
“Travel+”. Visi ini mencerminkan tekad Mohd Azhar untuk meletakkan JETOUR sebagai
jenama dipercayai bagi keluarga moden dan individu yang menghargai keseimbangan antara teknologi, keselesaan dan nilai.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini