HONOR Malaysia memperkenalkan HONOR MagicBook Art 14 2025, komputer riba baharu yang mentakrif semula gaya, prestasi dan mudah alih. Mengetengahkan rekaan anggun dan moden, ia bukan sekadar peranti berkuasa tetapi juga simbol fesyen yang memberi penekanan khusus terhadap privasi pengguna.
HONOR MagicBook Art 14 2025 dijual pada harga RM5,999 dan boleh dibeli di HONOR Experience Store, pengedar sah serta platform atas talian mulai 22 Ogos 2025.
Kuasa Dengan Gaya dan Rekaan Ringkas
HONOR MagicBook Art 14 2025 direka untuk golongan profesional moden yang mengutamakan gabungan estetika dan keupayaan tanpa perlu berkompromi. Komputer riba ini hadir dalam warna Mocha Brown inspirasi daripada Warna Tahun 2025 iaitu Mocha Mouse yang melambangkan gaya dan produktiviti.
Rekaan casis yang dibentuk dengan ketelitian setara pembuatan jam tangan mewah serta ketepatan teknologi CNC, menampilkan lengkungan elegan dan paparan dengan empat bucu bulat yang pertama dalam industri. Bezel ultra-nipisnya pula menjadikan pengalaman tontonan lebih imersif.
Mempunyai ketebalan hanya 1cm dan seberat 1kg, komputer riba ini lebih ringan dan teguh berbanding kebanyakan komputer riba flagship lain.

Ini kerana badannya dibina daripada aloi magnesium gred aeroangkasa manakala papan kekunci titanium untuk ketahanan serta rasa ringan yang premium. Bukan sahaja ringan, HONOR MagicBook Art 14 2025 mudah dimasukkan ke dalam beg kecil untuk dibawa ke mana-mana.
Paparan Jelas Sepanjang Hari
Paparan Sentuh OLED Anti-Pantulan 14.6 inci yang baharu menandakan peningkatan yang ketara berbanding generasi sebelumnya, dengan pengurangan silau dan visual yang kekal jelas dalam apa jua keadaan pencahayaan.
HONOR MagicBook Art 14 2025 mempunyai nisbah skrin-ke-badan 97% serta resolusi 3120 x 2080 untuk menghasilkan paparan jelas, hidup dan realistik.
Selain itu, peranti ini mempunyai paparan kecerahan puncak 1600 nits agar skrin jelas di bawah cahaya matahari terik. Teknologi Keselesaan Mata HONOR yang mendapat pensijilan Cahaya Biru Rendah dan Bebas Kerlipan TÜV Rheinland serta pemalapan dinamik adaptif membantu mengurangkan keletihan mata pengguna sepanjang penggunaan.
Sokongan sentuhan 10-poin memberikan interaksi lancar dan responsif sama ada untuk melakar idea kreatif atau membuat kerja dalam dokumen.
HONOR MagicBook Art 14 2025 dikuasakan oleh bateri 60Wh membolehkan penggunaan sehingga 10 jam tanpa henti, mulai daripada menghantar emel di awal pagi sehingga ke sesi kreatif pada larut malam. Sungguhpun begitu, pengecasan pantas 65W memberikan lebih masa untuk produktiviti, sesuai untuk mereka yang sentiasa bergerak.
Prestasi Optimum untuk Tugasan Pelbagai
Dari segi spesifikasi, HONOR MagicBook Art 14 2025 kini tampil dengan peningkatan prestasi yang signifikan. Ia dipertingkatkan daripada prosesor Intel® Core™ Ultra 5 kepada Intel® Core™ Ultra 7 255H yang terkini.
Dengan RAM yang kini digandakan kepada 32GB dan storan SSD 1TB yang luas, ia menjanjikan kelajuan dan kecekapan luar biasa untuk sebarang tugasan.
Konfigurasi ini memastikan kelancaran multitugas, membolehkan suntingan video 4K tanpa gangguan dan penstriman yang tiada halangan. Walaupun prestasi, memori dan storan telah dipertingkatkan dengan ketara, harga HONOR MagicBook Art 14 2025 kekal berpatutan, menjadikannya pilihan berbaloi. Sementara itu, teknologi HONOR Turbo X pula menyesuaikan kuasa secara pintar untuk tugasan berat, sekali gus memastikan sistem sentiasa sejuk dan cekap.
Privasi Pengguna Terjamin dengan Kamera Magnetik Ikonik Boleh Tanggal
HONOR MagicBook Art 14 2025 mengekalkan ciri ikoniknya iaitu kamera magnetik boleh tanggal dengan sambungan magnetik dua hala. Kamera magnetik ini adalah yang pertama dalam industri dan mula diperkenalkan dalam generasi terdahulu. Apabila tidak digunakan, kamera ini boleh ditanggalkan dan disimpan dalam ruang khas di sisi komputer riba.
Rekaan ini memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin daripada akses yang tidak dikenali. Dengan mengekalkan inovasi ini, HONOR MagicBook Art 14 2025 mengutamakan privasi penggunaan secara berterusan, selain mengukuhkan lagi reputasinya dalam rekaan yang pintar dan mementingkan pengguna.
Bunyi Imersif dan Tugasan Berkuasakan AI
Sistem bunyi HONOR MagicBook Art 14 diperkasakan oleh HONOR Spatial Audio dengan enam pembesar suara premium dan tiga mikrofon digital untuk memberikan pengalaman audio yang lebih mantap serta kualiti panggilan jelas.
Di samping itu, ciri AI Cross-OS WorkStation membolehkan pemindahan fail dan perkongsian skrin merentas peranti dengan lancar, manakala penambahbaikan AI yang lain menggabungkan aliran kerja agar menjadi lebih ringkas dan produktif, membolehkan pengguna fokus kepada penciptaan, bukan sekadar pengurusan tugasan.
Harga dan Ketersediaan
HONOR MagicBook Art 14 2025 hadir dalam dua warna premium iaitu Mocha Brown dan Emerald Green. Peranti ini boleh dibeli mulai 22 Ogos 2025. Komputer riba tersebut dijual pada harga RM5,999 dengan konfigurasi RAM 32GB dan SSD 1TB. Setiap pembelian disertakan dengan hadiah percuma bernilai RM508 terdiri daripada langganan Microsoft 365 Personal selama setahun dan beg galas HONOR Backpack.






































