Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, pada hari ini telah melancarkan Pos Shop terbaharunya di Kota Kinabalu, menandakan perkembangan konsep runcit inovatifnya ke Malaysia Timur dan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasinya.
Majlis perasmian ini disempurnakan oleh YB Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah.
Terletak di lokasi strategik di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, Jalan Segama, cawangan
pertama Pos Shop di Malaysia Timur ini menegaskan komitmen Pos Malaysia dalam
memodenkan perkhidmatan mereka serta berkembang selaras dengan keperluan dan
kehendak pengguna.
Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, meluahkan keterujaannya: “Menyusuli kejayaan Pos Shop di Semenanjung Malaysia, kami sangat
gembira untuk membawa konsep ini ke Kota Kinabalu. Cawangan ini amat bermakna
kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi pertama kami di Malaysia Timur, tetapi juga di
Sabah, Negeri di Bawah Bayu.

Ini adalah satu langkah penting yang mengukuhkan komitmen Pos Malaysia untuk mendekatkan perkhidmatan kami dengan rakyat Sabah, mempertingkatkan cara kami berkhidmat dan memastikan kami kekal relevan.
Namun ini baru permulaan. Kami percaya Pos Shop Kota Kinabalu akan menjadi pemangkin dalam merevolusikan pengalaman runcit untuk komuniti di Sabah.
“YB Datuk Phoong memuji Pos Malaysia atas inisiatif yang berpandangan jauh, sambil
menambah: “Pos Shop adalah konsep transformatif yang menggabungkan peruncitan
moden dengan kebolehpercayaan perkhidmatan pos tradisional.
Dengan transformasi pejabat pos sebagai ruang serba guna yang berfokuskan pelanggan, Pos Malaysia meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan untuk semua rakyat Malaysia.
“Apa yang paling menonjol adalah sokongan syarikat terhadap usahawan tempatan dengan memaparkan pilihan produk yang diperoleh daripada perusahaan kecil dan sederhana di Pos Shop, menyumbang kepada ekonomi tempatan sambil memenuhi keperluan komuniti.”
Dengan keluasan lebih 2,200 kaki persegi, Pos Shop Kota Kinabalu menggabungkan
pejabat pos yang beroperasi dengan ruang runcit yang selesa dan mesra. Ia menawarkan perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon bimbit dan e-wallet, serta pelbagai keperluan harian.
Cawangan ini juga menampilkan Pos Kafe yang popular, di mana pelanggan boleh menikmati kopi segar dan snek ’sedia dimakan’. Konsep inovatif ‘kedai dalam kedai’ ini memberi nafas baru kepada pejabat pos tradisional dan mencipta persekitaran runcit moden dan menarik di mana pelanggan boleh menyelesaikan urusan, berehat, dan membeli-belah – semuanya di satu lokasi yang mudah.






































