Pengkomputeran awan (cloud) hibrid Kumpulan UMW, dengan kerjasama TM One, telah dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.
Pada September 2022, UMW IT Services Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW dan TM One, cabang perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (TM) secara rasmi menandatangani perjanjian untuk mewujudkan kerjasama dalam perkhidmatan berasaskan pengkomputeran awan (cloud) hibrid.
Pelancaran Cloud Hibrid membuktikan kemajuan dalam bidang transformasi digital Kumpulan UMW, melalui penggabungan dan penambahbaikan seni bina pusat data semasanya.
Selain itu, ia juga melengkapkan proses pemodenan pelbagai aplikasi dan menyokong usaha Kumpulan untuk menambahbaik operasinya di seluruh Unit Perniagaan Strategiknya.
Majlis pelancaran secara langsung itu dirasmikan oleh Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, UMW Holdings Berhad dan Dato’ Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM, bersama pihak pengurusan kanan kedua-dua buah organisasi.
Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Transformasi digital adalah penting bagi perniagaan di Malaysia untuk kekal kukuh dan berdaya saing, terutamanya dalam bidang pembuatan seperti UMW dan ia juga penting untuk pertumbuhan negara.
Inisiatif Cloud hibrid juga penting terhadap usaha transformasi digital Kumpulan UMW, kerana ia merupakan asas yang kukuh untuk memajukan keupayaan IT dan digital UMW dan ia selaras dengan aspirasi rangka kerja strategik CREST@2021 kami.”
“Cloud hibrid membolehkan Kumpulan UMW memanfaatkan perkhidmatan inovatif TM One, untuk mengoptimumkan kecekapan dalam pengurusan data – meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan, kebolehskalaan serta menawarkan pengurusan kos yang lebih baik. Selain itu, cloud hibrid menawarkan fleksibiliti, kebolehpercayaan, kepantasan dan keselamatan data yang lebih baik kepada Kumpulan UMW untuk menyokong pertumbuhan perniagaan kami,” tambahnya.
Kumpulan UMW akan terus memanfaatkan kepakaran digital TM One dalam inisiatif IR 4.0, termasuk OEE Smart Manufacturing and Intra-Logistics Smart Inventory, yang akan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan meningkatkan keselamatan pekerja.
Tambahan pula, Kumpulan UMW juga sedang bekerjasama dengan TM One dalam penyambungan gentian dan rangkaian 5G di UMW High Value Manufacturing Park di Serendah, selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan untuk penyambungan berkelajuan tinggi bagi menampung automasi dan analisis Big Data dalam operasi.




































