Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) sedang membantu 108,936 akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak hampir RM12.63 bilion di bawah Pakej Bantuan Pembayaran PEMULIH (BPP) sejak pelaksanaannya pada 7 Julai 2021.

Jumlah ini melibatkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion, dan 90 permohonan daripada pelanggan Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) yang melibatkan hampir RM29.43 juta.

Sebagai sokongan kepada pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dilancarkan kerajaan, BPP menawarkan pilihan moratorium selama enam (6) bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama enam (6) bulan kepada pelanggan yang layak.

Permohonan dibuka kepada pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta Perusahaan Mikro dan PKS yang terjejas akibat pandemik semasa. Permohonan untuk BPP masih dibuka kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata “Kami mengalu-alukan langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan Islam dalam menangani impak COVID-19 terhadap kelangsungan hidup rakyat.

Bantuan pembayaran ini memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.

Bank sentiasa proaktif untuk berurusan dengan pelanggan untuk mengenal pasti keperluan mereka serta menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.”

Selain BPP, Bank Islam turut menawarkan program Penjadualan dan Penstrukturan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bagi pelan bayaran berpatutan.

Di samping itu, MPKS yang layak juga dapat menikmati Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) untuk pelanggan dalam sektor pelancongan; dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan dalam sektor perkhidmatan.

Baru-baru ini, Bank telah melancarkan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF) untuk PKS yang memerlukan insentif untuk mengautomasi proses dan pendigitalan operasi supaya perniagaan yang dimiliki lebih cekap.

Bank Islam turut menawarkan Program BIC-i Balance Conversion (BBC) untuk pemegang kad kredit yang memerlukan sokongan kewangan sementara.

Ahli Kad Kredit-i Bank Islam yang layak boleh menukarkan amaun prinsipal untuk baki penyata tertunggak kepada pelan ansuran di bawah kemudahan pembiayaan bertempoh pada kadar keuntungan efektif 13% setahun untuk tempoh 36 bulan.

Mengulangi kenyataan BNM, Bank memberi jaminan kepada pelanggan bahawa rekod dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka tidak akan terjejas sekiranya memilih untuk mendapatkan bantuan bayaran.

Mohd Muazzam berkata, bank mengakui bahawa pandemik ini memberi kesan berbeza kepada setiap pelanggan kami. Tambahan lagi, perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan akan turut menjejaskan aktiviti ekonomi.

“Sebagai Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, kami komited untuk menyokong daya tahan pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan mereka terutamanya dalam tempoh tidak menentu ini.

“Bank Islam turut menggesa pelanggan yang memerlukan sokongan untuk menghubungi kami dan menyatakan pilihan bantuan yang diperlukan. Jangan bimbang, kakitangan Bank Islam amat dedikasi dan bersedia menjawab persoalan anda pada bila-bila masa.”

Pelanggan boleh memohon melalui saluran-saluran berikut:

Pemegang Kad Kredit-i Bank Islam

      •   Hantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) YESPBANRIC ke 66300; atau
      •   Lengkapkan e-borang di https://vao.bankislam.com.my/BC/; at
      •   Muat turun Bank Islam Credit Card-i Balance Conversion Programme Application Form di laman web korporat Bank Islam dan hantar borang lengkap melalui emel ke [email protected]

 

Bank memberi jaminan bahawa tiada dokumen diperlukan dan kelulusan adalah automatik untuk pelanggan yang layak.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bankislam.com atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26 900 900 atau [email protected].