Khasiat madu lebah kelulut sememangnya bukan rahsia lagi dan umum sudah mengetahui mengenai rahsia alam semulajadi ciptaan tuhan ini.

Pengambilan madu lebah kelulut juga dapat membantu seseorang kekal bertenaga sepanjang hari selain meningkatkan metabolisme tubuh.

Selain itu, sapuan madu kelulut pada bahagian kulit juga boleh melembab dan melembutkan kulit di samping dikatakan dapat mengurangkan tanda-tanda penuaan pada kulit.

Kebaikan madu lebah kelulut kini dikomersialkan menerusi penghasilan sabun mandi bebas dengan campuran bahan-bahan organik sepenuhnya.

Sepertimana khasiat madu lebah kelulut, sabun mandi ini juga kaya dengan kebaikan mengikut kesesuaian pengguna apatah dengan campuran bahan-bahan yang sekian lama sebati dalam kalangan orang-orang Melayu khususnya.

Syarikat Khazalam Enterprise yang terletak di Kampung Guar Manong dekat Kuala Kangsar, Perak misalnya antara yang menghasilkan sabun mandi daripada madu lebah kelulut.

Perniagaan ini diusahakan pasangan Zulkepli Mohamad dan Hapidzah Mohd Naain sejak setahun lalu yang turut mengusahakan ternakan madu kelulut.

Menurut Hapidzah, setiap jenis sabun yang dihasilkan itu mengandungi ramuan-ramuan tertentu di samping bahan asasnya iaitu madu lebah kelulut, roti kelulut (bee bread), propolis dan minyak zaitun.

Katanya, propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut misalnya mempunyai khasiat yang tersendiri yang biasanya digunakan sebagi bahan aktif dalam kosmetik.

“Ketika ini kita menghasilkan lima jenis sabun madu kelulut iaitu sabun madu kelulut kayu manis, daun gelenggang, daun sireh, badam rose dan resdung.

“Misalnya sabun madu kelulut kayu manis dicampur kayu manis dan bahan pewangi. Begitu juga badam ros dengan ditambah minyak badam dan campuran badam,” katanya.

Bekas graduan dalam bidang komunikasi ini berkata, bagi menghasilkan sabun mandi gelenggang pula ia mengandungi campuran arang dan daun gelenggang yang diproses sendiri.

“Bagi sabun sireh pula kita menggunakan daun-daun sireh asli manakala sabun resdung pula merupakan campuran beberapa jenis herba antaranya pudina dan rosemary.

“Semua produk yang kita hasilkan ini menggunakan bahan-bahan semulajadi dan bahan-bahan organik tanpa ada bahan kimia merbahaya,” katanya yang turut mengendalikan kelas bimbingan bagi mereka yang berminat mengusahakan ternakan kelulut.

Beliau berkata, sebagai produk bebas bahan kimia maka sabun kelulut itu sesuai digunakan oleh semua peringkat usia sama ada untuk penjagaan kulit atau tubuh badan.

“Sabun madu kelulut kayu manis dijual pada harga RM9 sebuku, gelenggang dan sireh (RM10), resdung (RM12) dan badam rose (RM15).

“Menggunakan jenama Meliponini, mereka yang berminat boleh mendapatkan sabun kelulut organik ini dengan menghubungi pihak kami di talian 012-4810489 atau boleh layari laman Facebook Sabun Kelulut Organik bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pengedar produk sabun kelulut ini juga boleh menghubungi Hapidzah di talian berkenaan.