Proton Holdings Berhad (Proton) mencatatkan pendaftaran sebanyak 6,145 buah kenderaan pada Mac dengan pegangan pasaran sebanyak 11 peratus meningkat 2.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Li Chunrong berkata, Proton mengakhiri suku pertama tahun 2019 dengan rekod kenaikan jualan yang baharu di mana syarikat berjaya mengekalkan kecemerlangan yang dicapai pada awal tahun ini.

Menurut beliau, bulan lalu menyaksikan pertumbuhan positif bagi industri automotif di mana anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) meningkat sebanyak 11.8 peratus tahun ke tahun.
“Proton sekali lagi mengatasi pasaran dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 46.1 peratus bersamaan dengan kadar pertumbuhan hampir empat kali lebih tinggi daripada keseluruhan industri. Bagi tiga bulan pertama tahun ini, angka kumulatif adalah 43.5 peratus atau lebih daripada enam kali bilangan TIV sebanyak 6.7 peratus.
“Kedudukan keseluruhan jualan Proton adalah yang paling ke hadapan berbanding jenama pesaing-pesaing lain bagi bulan ini serta suku pertama 2019.
“Ini juga bermakna syarikat telah berjaya mendahului jenama automotif keempat terlaris sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama popular di kalangan pembeli kereta di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Chunrong, angka yang dicatatkan oleh Proton pada tahun ini merupakan hasil usaha padu yang dilakukan oleh setiap pekerja.
Katanya, pencapaian itu juga disebabkan oleh pembukaan cawangan 3S/4S, peningkatan kualiti produk, tumpuan penuh pada perkhidmatan pelanggan serta penambahbaikan pada bahagian-bahagian yang lain.
“Proton yakin bahawa pelaburannya dalam perniagaan akan terus memberi kelebihan pada pertumbuhan jualan didorong oleh pelbagai lagi model pada tahun semasa,” ujarnya.
Sementara itu, Chunrong berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, X70 telah berjaya mencatatkan angka pendaftaran yang memberangsangkan dengan 2,979 buah kenderaan telah didaftarkan pada Mac.
Katanya, model tersebut bukan sahaja muncul sebagai SUV terlaris untuk Mac tetapi secara kumulatif merupakan SUV paling popular untuk tiga bulan pertama tahun ini.
“Jumlah yang direkodkan bagi Mac merupakan angka paling banyak yang pernah dicatatkan dalam industri automotif tempatan bagi segmen SUV dalam masa sebulan. Pada masa sama, lebih 25,000 tempahan telah diterima menjadikan X70 sebagai model Proton paling popular untuk tahun 2019.
“Kami berharap dapat mengurangkan masa menunggu kepada para pelanggan berikutan jumlah penyerahan X70 yang kian meningkat.
“Kami akan berusaha gigih untuk memastikan setiap unit mempunyai tahap kualiti yang tinggi kerana dan menjadi kenderaan yang diberi nilai teratas untuk Kajian Kualiti Awal (IQS),” jelasnya.
Proton kini memiliki 75 cawangan 3S/4S di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE






































