Seramai 40 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima suntikan semangat baharu apabila dipertemukan secara rasmi dengan 24 keluarga angkat dalam kalangan kakitangan universiti menerusi Program Protoge BITARA yang dilancarkan semalam.
Majlis peluncuran program berkenaan berlangsung di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan
Shah bersempena Karnival Badan Pelajar 2025, yang menyaksikan kehadiran kira-kira
14,000 pelajar sejak awal pagi.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, Program Protoge BITARA
mencerminkan nilai teras BITARA yang menekankan keprihatinan, kebersamaan dan
pembangunan insan secara holistik dalam ekosistem kampus.
“Program ini berteraskan prinsip 3A iaitu Adab, Akhlak dan Akademik. Kita mahu pelajar
bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki adab yang tinggi serta akhlak yang baik sebagai bakal pendidik dan pemimpin masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan keluarga angkat yang diperkenalkan mampu mewujudkan
persekitaran kampus yang lebih penyayang dan inklusif, sekali gus membantu pelajar
menangani cabaran kehidupan universiti dengan lebih seimbang.
“Kehadiran keluarga angkat memberi makna besar kepada pelajar kerana mereka bukan
sekadar menerima bantuan, malah merasai sokongan moral, perhatian dan bimbingan yang berterusan. Inilah roh BITARA UPSI yang ingin kita semai dalam kalangan seluruh warga universiti.
Menurutnya, inisiatif itu juga berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan
kekeluargaan serta sokongan emosi antara warga universiti dan pelajar, di samping
meningkatkan kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
Program Protoge BITARA, yang diperkenalkan sejak awal 2025 dan dikelolai oleh Bahagian
Hal Ehwal Pelajar UPSI, memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan program,
mengenal pasti pelajar yang memerlukan serta mendapatkan penyumbang berpotensi dalam kalangan kakitangan universiti.
Menerusi program itu, penyumbang komited membantu pelajar melalui potongan gaji
berjadual secara bulanan bagi tempoh minimum satu tahun, selain berpeluang berinteraksi,
membimbing dan memantau perkembangan anak angkat masing-masing.
Penyumbang yang memilih untuk kekal tanpa identiti turut diberi ruang bagi memastikan
sumbangan dapat disalurkan secara ikhlas dan berterusan.
“Program berkenaan dijangka menjadi antara inisiatif berimpak tinggi UPSI dalam
memperkukuh kesejahteraan pelajar serta melahirkan graduan seimbang daripada segi sahsiah, nilai kemanusiaan dan kecemerlangan akademik,” katanya.
Dalam majlis yang sama turut diadakan penyerahan kutipan derma Palestin dan Sudan serta Pelancaran Bitara Prihatin dan Mahasiswa Prihatin serta Apresiasi atlet sukan UPSI.


































