Baru sahaja dilancarkan di Malaysia, Volvo EX90 serba baharu dan sepenuhnya elektrik telah mencapai pencapaian luar biasa — dinobatkan sebagai World Luxury Car of the Year 2024.

Pengiktirafan berprestij ini diumumkan menjelang New York International Auto Show, dengan juri World Car Awards — terdiri daripada 96 wartawan automotif terkemuka dari 30 negara — memuji gabungan mewah Skandinavia yang diperhalusi, prestasi elektrik sepenuhnya yang bertenaga, serta inovasi keselamatan bertaraf dunia yang dimiliki EX90.

Anugerah ini turut mengukuhkan lagi kedudukan EX90 sebagai kereta Volvo paling canggih dari segi teknologi dan paling selamat pernah dihasilkan. Direka sebagai sebuah “komputer atas roda”, EX90 menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan sentiasa bertambah baik melalui kemas kini perisian over-the-air, sensor pintar, serta sistem keselamatan generasi baharu yang berpaksikan data masa nyata.

Dibina berasaskan Superset tech stack yang dibangunkan oleh Volvo Cars sendiri dan dikuasakan oleh platform NVIDIA DRIVE AI, sistem pengkomputeran utama EX90 mengendalikan setiap aspek kenderaan — daripada infotainmen dan ciri keselamatan hinggalah bantuan pemanduan lanjutan.

Dengan keupayaan pemprosesan yang tinggi, EX90 digandingkan dengan rangkaian sensor lengkap termasuk radar, kamera, sensor ultrasonik dan sistem lidar terkini. Ia merupakan model Volvo pertama yang bersedia untuk pemanduan autonomi secara berperingkat, sejajar dengan perkembangan perisian dan kelulusan perundangan. Sensor-sensor ini juga meningkatkan prestasi sistem Pilot Assist generasi baharu, yang kini mampu memberikan bantuan automatik semasa pertukaran lorong.

Volvo EX90 ditawarkan pada harga runcit disyorkan RM442,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM442,648 untuk Sabah dan Sarawak². Ia hadir dengan perkhidmatan digital percuma selama lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam dan jaminan kenderaan tanpa had perbatuan. Bateri voltan tinggi turut dilindungi dengan jaminan selama lapan tahun.

Sebagai penghargaan awal, 50 pelanggan terawal akan menerima baucar pengecas dinding dan pengadang matahari panoramik lipat bernilai RM5,000 secara percuma.

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi laman web Volvo Car Malaysia atau pengedar sah terpilih untuk menempah pandu uji.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini