Samsung Malaysia telah melancarkan siri Galaxy A26 5G, A36 5G dan A56 5G di Malaysia baru-baru ini sebagai pengganti siri Galaxy A35, A55 tahun lalu.
Samsung Siri A kekal menjadi peranti popular rakyat Malaysia kerana prestasi, reka bentuk dan paling penting harga yang berpatutan.
Ketiga-tiga peranti ini dilengkapi saiz 6.7 inci dengan perbezaan terletak pada pilihan cip pemproses dan juga konfigurasi kamera utama. Sungguhpun begitu ketiga-tiganya masih diberikan sokongan kemas kini 6 versi Android dan sokongan sekuriti selama 6 tahun.
Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti pintar inovatif Galaxy A36 5G ini selepas dilancarkan secara rasmi kepada umum.
Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran lebih segar dan spesifikasi lebih terkini sekali gus menarik minat pengguna yang sedang mencari peranti berharga di bawah RM2,000.
Rekaan luarannya hadapan dilapisi gelas keselamatan Corning® Gorilla® Glass Victus® dan bingkai logam pada bahagian sisi.
Selain itu, hayat bateri peranti ini sebesar 5000 mAh juga menjangkaui tempoh penggunaan lebih daripada dua hari dan dibekalkan dengan pengecasan berwayar 45W.
Peranti ini juga dilengkapi skrin Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, dijana cip Snapdragon 6 Gen 3, selain pilihan memori 6GB atau 12GB RAM.
Peranti ini menggunakan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15, mempunyai speaker stereo dan kemampuan kalis air IP67, dikemaskini dengan sokongan Circle to Search, Best Face, Nightography dan Object Eraser selain, dilengkapi bicu audio 3.5mm.
Rekaan Kamera Baharu
Rekaan lensa kamera belakang model peranti terbaharu kali ini seakan hampir sama dengan rekaan pada model Siri A35 tahun lalu di mana rekaan tri-kamera tanpa bonggol yang tidak terlalu besar menjadikan peranti ini kelihatan lebih kemas dengan disusun menegak dan sebaris namun kali ini dibaluti bingkai dengan sebuah lampu flash menjadikan peranti ini nampak ringkas.
Samsung Galaxy A36 5G dilengkapi ciri tri-kamera belakang dengan kamera utama pula terdiri daripada sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 8MP dan makro 5MP. Di hadapan pula kamera 12MP (super HDR) digunakan untuk swafoto.
Konfigurasi kamera pada peranti ini ialah 50MP (f/1.8) – (lebar); 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) dan 5MP (f/2.4) yang dikuasai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.
Tidak kira siang atau malam, peranti ini menawarkan pakej kamera yang lebih baik sekali gus menghasilkan imej yang menakjubkan dengan kualiti yang dipertingkatkan, dengan menggunakan keupayaan Nightography dan AI terkemuka Samsung Galaxy.
Lihat gambar-gambar dibawah yang dirakam menggunakan mod malam.
Sama ada untuk rakaman swafoto yang sempurna atau bersambung melalui panggilan video yang tersangat lancar, peranti ini menawarkan perincian visual yang menakjubkan menerusi kamera hadapan 12MP.
Telefon pintar baharu ini juga membenarkan pengguna merakam video sehingga UHD 4K (3840 x 2160)/30fps dengan ciri penstabilan terbina, di samping kebolehan zum digital mencapai 10X.
Menerusi sensor yang dipertingkatkan, mengambil gambar dalam suasana pencahayaan malap, mod Malam membantu merakam visual yang lebih terperinci dengan memperluaskan saiz piksel kamera.
Untuk peranti dalam siri Galaxy A, pengguna juga boleh menghapuskan bayang-bayang dan pantulan yang tidak diingini dalam rakaman dengan menggunakan alat penyunting imej (object Eraser) yang dipertingkatkan.
Rekaan Kontur Badan
Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 162.9 x 78.2 x 7.4 ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh menjadikannya sebuah peranti yang sesuai untuk golongan muda yang aktif.
Skrin sebesar 6.7-inci digunakan adalah lebih besar berbanding 6.6-inci pada pendahulunya iaitu Galaxy A35 5G. Penambahbaikan paling ketara lain yang turut boleh ditemui pada skrin peranti ialah sokongan kadar segar semula dipertingkatkan menjadi 120Hz.
Samsung turut meningkatkan tahap kecerahan skrin sehingga 1200nits untuk prestasi skrin cukup baik digunakan di bawah cahaya matahari terik. Ini kombinasi yang menarik apabila turut dipadankan dengan penggunaan panel dari keluarga Super AMOLED berteknologi FHD+.
Walaupun kelihatan ringkas, kemasan licin kusam pada bahagian belakang yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.
Peranti seberat 195 gram ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Lime, Awesome White, Awesome Lavender dan Awesome Black. Memang Ohsemkan!
Lagi gambar-gambar menarik diambil menggunakan mod malam.
Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian bawah.
Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).
Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara di bawah serta atas. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada juga kepala pengecas disertakan.
Spesifikasi
Samsung Galaxy A36 5G hadir dengan kapasiti storan yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan dipadankan dengan pemprosesan Octa-core, peranti ini juga didatangkan dengan ciri chamber 15 peratus lebih besar untuk menyejukkan peranti ini apabila digunakan untuk bermain game atau melakukan penstriman video bagi tempoh yang lama.
Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A36 menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 6 Gen 3. Ia merupakan cip berteknologi 4nm dengan konfigurasi Octa-core (4×2.4 GHz Cortex-A78 dan 4×1.8 GHz Cortex-A55)
Harga pasaran
Samsung Galaxy A36 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,499 untuk 12GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Lime, Awesome White, Awesome Lavender dan Awesome Black.
Samsung Galaxy A36 5G ialah telefon pintar kelas pertengahan yang menawarkan ciri-ciri menarik.Ia dilengkapi dengan paparan Super AMOLED 6.7-inci beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz, memberikan visual yang lancar dan jelas.
Kamera utama 50MP dengan sokongan OIS menghasilkan foto yang jelas, manakala kamera hadapan 12MP sesuai untuk swafoto berkualiti manakala bateri 5,000mAh menyokong pengecasan pantas 45W, yang mampu memberikan 65 peratus pengecasan dalam masa 30 minit manakala pengecasan penuh mengambil masa kira-kira 68 minit.
Antaramuka One UI 7 berasaskan Android 15 menawarkan ciri-ciri AI seperti ‘Circle to Search’ dan ‘Object Eraser’. Dengan harga RM1,499, peranti ini memberikan nilai yang baik bagi mereka yang mencari peranti berprestasi tinggi dengan ciri-ciri terkini.
Spesifikasi Samsung Galaxy A36 5G:
- Paparan : 6.7” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340), 120 Hz
- Pemproses: Snapdragon® 6 Gen 3
- OS: Samsung One UI 7.0 + Android 15
- Saiz: 162.9 x 78.2 x 7.4mm
- Memori: 12GB
- Storan: 256GB
- Bateri: 5000mAh Fast Charging 45W
- CPU: Octa-core (4×2.4 GHz Cortex-A78 dan 4×1.8 GHz Cortex-A55)
- Kamera belakang: 50MP + 8MP + 5MP
- Kamera depan: 12MP
- Ciri Menarik: Pengimbas cap jari, surround sound Dolby Atmos, IP67
- Warna: Awesome Lime, White, Lavender dan Black.
- Harga: RM1,499
#GalaxyA365G
#KitaPilihAYE