Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap kenderaan cekap kos dan boleh dipercayai, Isuzu Malaysia bakal memperkenalkan model trak pikap rendah kos penggunaan, Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT.

Jentera kerja yang boleh dipercayai dengan pelbagai kemampuan ini disasarkan untuk kegunaan perniagaan di kawasan bandar dan sekitarnya, bagi pelanggan yang memerlukan kenderaan yang mudah muatan, mempunyai ruang luas serta kos penggunaan yang rendah untuk mempertingkatkan lagi kecekapan dalam menjalankan operasi perniagaan mereka.

Berkongsi spesifikasi yang sama dengan D-Max 1.9 liter Single Cab yang paling asas dengan melibatkan sedikit peningkatan, D-Max Low-Ride akan ditawarkan hanya dengan enjin RZ4E-TC 1.9 liter yang digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan bagi memastikan kos pemilikan dan penggunaan yang rendah.

Unit penjana kuasa yang menakjubkan ini telah juga membuktikan kecekapannya dalam perjalanan sejauh 2,000 km, dengan hanya menggunakan satu tangki diesel sahaja, sekaligus layak disenarai dalam buku rekod.

“Sebagai pendahulu global bagi pengeluaran kenderaan komersial, Isuzu terus menawarkan kendearan yang memberi nilai terbaik serta kos penggunaan yang rendah kepada pemiliknya.

Isuzu D-Max Low-Ride baharu ini juga tidak terkecuali. Rekaannya yang ringkas namun tahan lasak, kepelbagaian konfigurasi serta sistem janaan kuasa yang cekap memastikan pelanggan akan memdapatkan antara kenderaan dengan kos penggunaan serta penyelenggaraan yang paling rendah dalam pasaran trak pikap ketika ini,” kata Ketua
Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Dengan ketinggian ruang kargo yang hanya 78 cm dari permukaan tanah, Isuzu D-Max Low-Ride memudahkan pengguna untuk mengangkut muatan. Barangan bersaiz besar mudah dimuat naik dan dimuat turun, sementara barangan kecil menjadikan urusan itu lebih bersahaja.

Ruang kabinnya juga luas dan selesa dan boleh memuatkan lima penumpang, menjadikan kenderaan ini sesuai untuk mengangkut tenaga kerja yang ramai, atau kelengkapan yang pelbagai untuk pekerjaan di lokasi lain.

Walaupun menjadi sebuah trak pikap paling mampu milik dalam pasaran ketika ini, Isuzu D-Max Low-Ride tidak mengorbankan keselesaan dan keselamatan. Ia datang dengan kerusi balutan fabrik, sistem hiburan DIN tunggal dengan ciri Bluetooth, stereng larasan atas-bawah dan teleskopik, sistem kunci sentral dan juga cermin sisi larasan elektronik.

Keselamatan penumpang dan kargo juga menjadi keutamaan. Untuk itu, Isuzu D-Max Low-Ride turut dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS), Hill Start Asisst (HSA) dan Hill Descent Control (HDC).

Ia juga lengkap dengan dua beg udara, Brake Override System (BOS), Emergency Stop Signals, lampu Follow-Me Home dan sensor undur, menjadikan trak ini yang paling selamat dalam kelasnya — juga telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP untuk lebih memberikan kelegaan dan keyakinan kepada pelanggan.

Pemilik perniagaan yang ingin mengurangkan kos operasi mereka kini boleh menempah Isuzu D-Max Low-Ride yang didatangkan dalam warna Splash White melalui semua pengedar sah Isuzu seluruh negara.

Serahan kepada pelanggan dijangka mula dilakukan pada Februari 2025, dengan harga jualannya ialah RM92,199.20 atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia manakala RM94,279.60 atas jalan tanpa insurans untuk Sabah dan RM 94,170.30 atas jalan tanpa insurans untuk Sarawak. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama lima-tahun/150,000 km.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini