Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dato’ (Dr) Mustapha Ahmad Marican berkata, masalah tekanan (stress) sering diperkatakan dewasa ini.
Beliau berkata, ramai dikalangan pekerja menghadapi tekanan yang sama ada di rumah atau di tempat kerja dan punca berlakunya antaranya ialah beban tugas yang banyak, kurang jelas peranan dalam organisasi, persekitaran kerja yang toksik, rakan sekerja yang suka bergosip/mengata dan termasuklah tekanan dari pihak atasan yang melampau batas.
“Sebagai pekerja kita sebenarnya boleh mengambil langkah awal mengatasi masalah tersebut sebelum menjadi lebih teruk lagi. Banyak langkah yang boleh diambil bagi menguruskan tekanan di tempat kerja.
“Antaranya ialah rancang dan susun jadual tugas mengikut keutamaan, kenal pasti punca masalah, sentiasa rehatkan minda dengan melakukan senaman dan jaga pemakanan, membuat aduan melalui saluran betul jika ada masalah dan sentiasa menjaga tutur bahasa dan adab dalam apa jua keadaan,” katanya ketika memberi ceramah umum kepada penjawat awam di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, tidak dinafikan waktu jaga kita lebih banyak di tempat kerja berbanding di rumah dan bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni pelbagai cara atau aktiviti boleh dilakukan disamping dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja.
Antaranya ialah aktiviti team building, aktiviti sukan selepas waktu kerja, menganjurkan kursus pengurusan stress dan sebagainya lagi.
“Sebagai pekerja di dalam organisasi, kita semua perlu memainkan peranan dan sentiasa bersikap positif. Barulah organisasi dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
“Sekiranya ada masalah atasinya dengan cara yang berhemah dan bijak. Tidak hanya mengikut emosi semata-semata. Kata-kata nasihat, kata-kata semangat adalah lebih baik dari kita mengeluarkan kata-kata hinaan dan merendah-rendahkan orang lain.
“Suasana positif di tempat kerja mampu mengatasi masalah stress dan kemurungan di tempat kerja,” katanya.