Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), sebagai  agensi fokal untuk ekosistem startup Malaysia, telah menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) dengan Kapital DX Sdn Bhd (KLDX), bursa sekuriti digital  Malaysia bagi menyediakan saluran pembiayaan alternatif untuk startup Malaysia.

Kerjasama ini menawarkan fleksibiliti yang lebih besar kepada startup dalam memilih  pembiayaan yang sesuai dengan keperluan unik mereka, membolehkan syarikat yang  mungkin tidak menarik perhatian firma modal teroka (VC) tempatan untuk  mendapatkan pembiayaan melalui platform KLDX.

Kerjasama strategik ini merupakan inisiatif utama di bawah Program Fund Funnel oleh  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Program ini bertujuan untuk  menangani salah satu cabaran utama dalam ekosistem startup Malaysia, iaitu  kekurangan kesinambungan kewangan dari peringkat awal hingga peringkat  pertumbuhan seterusnya.

Jurang ini dikenal pasti sebagai penghalang utama kepada  pertumbuhan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup  Malaysia (SUPER) 2021-2030.

Tan Sri Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi KLDX.

Mengulas mengenai MoU ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, kerjasama antara Cradle dan KLDX membuktikan komitmen untuk membangunkan ekosistem startup yang mampan di Malaysia.

Program Fund Funnel  diwujudkan untuk menangani jurang pembiayaan yang kritikal dalam ekosistem ini,  memastikan startup mempunyai akses berterusan kepada modal dari peringkat awal  sehingga fasa pertumbuhan mereka.

“Dengan menyediakan pilihan pembiyaan  alternatif, kita memberi peluang kepada startup untuk berkembang sekaligus  merealsisasikan hasrat Malaysia untuk berada dalam 20 ekosistem startup terbaik dunia menjelang tahun 2030. MOSTI komited untuk menyokong kerjasama yang  memacu aspirasi nasional ini.”

Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke menekankan, “Kerjasama kami dengan KLDX mencerminkan komitmen Cradle dalam memupuk dan membangunkan ekosistem startup Malaysia. Dengan pengalaman luas  dalam membiayai startup peringkat awal, Cradle memahami keperluan kritikal untuk  akses modal yang berterusan apabila syarikat berkembang.

Melalui KLDX, kami  memperkenalkan pilihan pembiayaan inovatif yang memberikan fleksibiliti yang  diperlukan untuk pertumbuhan dan inovasi. Kami berbesar hati menawarkan kepada  alumni kami dan startup di seluruh Malaysia sebagai alternatif kukuh kepada  pembiayaan VC tradisional.”

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Cradle dalam mencipta laluan transformasi  untuk startup dan PKS Malaysia dalam mengakses pembiayaan alternatif melalui  platform KLDX,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KLDX, Selvarany Rasiah.

Kerjasama ini adalah langkah signifikan bagi menutup jurang pembiayaan yang telah dikenal pasti dalam ekosistem startup dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia. Platform kami membolehkan syarikat mendapatkan modal yang mereka  perlukan untuk berinovasi, berkembang, dan bersiap sedia untuk kejayaan jangka  panjang, termasuk potensi untuk IPO.

Dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang  fleksibel, KLDX dan Cradle memperkasakan startup Malaysia untuk berkembang  secara mampan dan menyumbang kepada visi negara menjadi peneraju global dalam  landskap startup.”

Di bawah intervensi kedua SUPER, terdapat keperluan mendesak untuk merombak rangka kerja tarikan pelaburan bagi meningkatkan keberkesanannya dan menarik  pelaburan berkualiti tinggi.

Kerjasama antara Cradle dan KLDX secara langsung  menangani isu ini dengan mewujudkan laluan pembiayaan yang lebih tersusun dan  bersepadu untuk startup, memastikan peralihan yang lebih lancar dari pelaburan  peringkat awal ke peringkat pertumbuhan seterusnya.

MoU ini menumpukan pada menangani jurang pembiayaan di peringat Siri A dan  seterusnya, yang sering menjadi cabaran untuk diperoleh dalam ekosistem tempatan  Malaysia. Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang tersebut, menyokong  startup dalam peralihan dari pembiayaan awal kepada pertumbuhan berterusan, dan  akhirnya ke tahap bersedia untuk tawaran awam permulaan (IPO).

Cradle akan secara aktif mempromosikan platform KLDX kepada rangkaian  alumninya, menawarkan laluan alternatif untuk mendapatkan pembiayaan dan  merapatkan jurang kewangan pada peringkat pertumbuhan kritikal. Selain itu, platform  KLDX akan dapat diakses melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup,  menyediakan akses mudah kepada penyelesaian pembiayaan untuk startup  Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini