HONOR Malaysia tidak menunggu lama sehingga tahun depan untuk memperkenalkan peranti boleh lipat terbaharunya walaupun peranti terdahulu HONOR Magic V2 seakan terasa baru dilancarkan pada awal tahun ini.

Pertaruhan berani ini tentu sekali memberi cabaran dan mengubah lanskap pasaran telefon pintar di Malaysia yang kebanyakannya menunggu selepas genap setahun ini untuk memperkenalkan peranti baharu.

Pelik tapi benar dan ini yang berlaku apabila HONOR Malaysia bakal menjadi antara negara pertama yang akan melancarkan HONOR Magic V3, telefon boleh lipat AI paling nipis dan ringan serentak dengan pelancaran global di IFA 2024, Berlin Jerman pada 5 September ini.

Masih kekal dengan struktur rekaan ultra-nipis, HONOR Magic V3 membawakan telefon boleh lipat dengan rekaan paling nipis dalam industri dengan ketebalan hanya 9.2mm manakala apabila dibuka senipis 4.35mm.

Jika dibandingkan dengan HONOR Magic V2, peranti terdahulu memiliki ketebalan 9.9mm ketika dilipat manakala apabila dibuka pula senipis 4.7mm.

Rekabentuk Yang Tahan Lasak 

Ketika menghadiri sesi previu awal peranti terbaharu ini, HONOR turut mengadakan demontrasi ‘membasuh’ peranti ini dalam mesin basuh selama 15 minit dengan menyaksikan peranti ini berpusing-pusing dan direndam dalam air.

Bagaimanapun, selepas tempoh ujian berlalu, peranti ini masih boleh dihidupkan dan digunakan seperti biasa sekali gus membuktikan peranti ini benar-benar tahan lasak.

Selain dimasukkan dalam mesin basuh, peranti ini juga melalui proses ujian ketahanan apabila direndam dalam air sedalam 2.5 meter dan ini amat sesuai dalam keadaan cuaca Malaysia yang panas dan lembap khususnya secara tidak sengaja terdedah kepada hujan.

Hasil daripada ujian ini mendapati HONOR Magic V3 bukan sekadar tahan calar bahkan menunjukkan keupayaan kalis air yang menakjubkan, sekali gus mengesahkan kualiti binaannya cukup tahan lasak.

Lebih Kukuh Berbanding Kevlar  

HONOR Magic V3, juga adalah jenama telefon pintar pertama yang menggunakan bahan Super Fiber pada panel belakang peranti ini diperbuat daripada fiber unik yang mana bahan-bahannya bercirikan aeroangkasa dengan ketahanan 5800MPa yang tiada tandingan.

Bahan ini lebih kukuh berbanding Kevlar dan fiber karbon agar peranti ini kekal ringan serta tahan lasak dalam masa yang sama. Sebagai jenama telefon pintar pertama yang menggunakan fiber termaju ini, HONOR telah mereka bentuk telefon yang boleh menahan impak sebanyak 40 kali berbanding Samsung S24 Ultra, selain 40 peratus lebih nipis, membolehkan HONOR Magic V3 mampu bertahan walaupun dalam keadaan mencabarkan.

HONOR Super Steel Hinge, bahan engsel paling kukuh dan ternipis

Teras kepada ketahanan HONOR Magic V3 ini ialah HONOR Super Steel Hinge yang menerajui industri dan diperbuat daripada generasi kedua keluli super HONOR Super
Steel.

Bahan ini memiliki ketegangan sekuat 2100MPa, mengatasi engsel keluli Samsung Z Fold6 yang sekuat 1600MPa. Dengan mengurangkan ketebalan badan engsel kepada saiz terbaik industri pada 2.84mm, HONOR telah mengoptimumkan ruang dalaman untuk memperkukuhkan struktur bagi menambah baik ketahanan keseluruhan peranti ini.

Engsel peranti ini pula berupaya menahan sehingga 500,000 lipatan dan juga telah menerima pensijilan SGS Durability Certification yang mengukuhkan lagi kelasakan dan ketahanan peranti ini.

HONOR Anti-Scratch NanoCrystal Shield, 10 kali ganda anti-jatuh dan anti-calar

Paparan luaran 6.43 inci HONOR Magic V3 diperkuatkan dengan perlindungan HONOR Anti-Scratch NanoCrystal Shield, menawarkan 10 kali ketahanan jatuhan dan calar berbanding kaca biasa.

Dengan kepadatan kristal 50 peratus lebih tinggi berbanding bahan biasa, paparan ini direka agar dapat bertahan daripada jatuhan tidak sengaja dan kegunaan harian. Telefon boleh lipat ini kekal tanpa cela walaupun dalam keadaan yang paling getir.

IPX8 Kalis Air, tertinggi untuk telefon boleh lipat

HONOR Magic V3 juga menetapkan penanda aras baru untuk kalis air pada telefon boleh lipat, dengan penarafan IPX8 yang tertinggi bagi peranti boleh lipat.

Telefon ini masih berfungsi walaupun berada di kedalaman 2.5 meter air, menjadikannya selamat untuk digunakan semasa hujan, terkena tumpahan air atau terjatuh ke dalam air seperti yang dibuktikan dalam cabaran mesin basuh.

Tahap kalis air ini memastikan agar HONOR Magic V3 boleh berfungsi sepenuhnya dan dilindungi. Jangka hayat peranti ini menjadi lebih panjang dan memberi pengalaman pengguna yang lebih memuaskan.

Keupayaan Fotografi Potret Bertaraf Studio

Peranti ini buat julung kalinya turut dipadankan dengan fungsi pintar Kecerdasan Buatan (AI) terbina bagi fungsi kamera AI Matrix yang boleh menghasilkan gambar potret dengan kualiti dan penghasilan sama bagaikan di studio sebagaimana ciri pada Siri Honor 200 dan 200 Pro yang diperkenalkan baru-baru ini.

Tentu sekali gambar yang terhasil dengan ciri studio menjadi idaman mana-mana pengemar fotografi yang tidak mampu memiliki kamera jenis DSLR dan bergantung sepenuhnya kepada peranti seperti telefon pintar.

Ini kerana keupayaan telefon pintar keluaran China ini sudah cukup hebat untuk menterjemahkan keupayaan sebenarnya kerana menerusi kamera utama 50MP, ia dilengkapi dengan fungsi Professional Harcourt Portrait Mode.

Dengan fungsi ini, gambar yang dirakam akan dioptimasi dengan memberikan perincian yang lebih di bahagian muka, dan turut memberikan bokeh yang bersesuaian dengan pencahayaan serta tona warna wajah yang tepat.

Spesifikasi Kamera

HONOR Magic V2 dilengkapi dengan tri-kamera di belakang yang menggabungkan sensor 50MP lebar (f/1.6), 40MP lensa ultra-lebar (f/2.2) dan 50MP lensa telefoto (f/3.0) dengan sokongan OIS terbina.

Sementara itu diikuti pula dengan kamera swafoto sebesar 20MP (lebar) dengan bukaan apertur f/2.2) juga digunakan pada kedua-dua belah skrin luar dan dalam. Peranti juga membenarkan rakaman video maksimum 4K (3840×2160 pixels) dibuat pada kedua-dua belah kamera. Kebolehan zum pula boleh meningkat kepada 100X zum digital.

AI Defocus Technology – Keprihatinan HONOR Terhadap Kesihatan Mata

Selain menjadi telefon boleh lipat yang paling nipis, paling ringan dan amat tahan lasak, HONOR Magic V3 juga menetapkan standard baharu dalam perlindungan mata dengan teknologi AI Defocus Technology yang inovatif.

Ciri ini menunjukkan komitmen HONOR terhadap kesihatan mata pengguna dengan mengurangkan ketegangan mata dan masalah rabun sementara yang disebabkan oleh menonton skrin.

AI Defocus Technology memanfaatkan algoritma AI termaju untuk menyerupai kaedah optik tradisional dengan menyelaras kemasukan cahaya ke dalam mata dan mengurangkan ketegangan mata secara mendadak.

Hasil ujian HONOR menunjukkan bahawa AI Defocus Technology boleh mengurangkan rabun sementara secara efektif ke purata 13 darjah dalam tempoh masa 25 minit semasa menggunakan peranti tersebut.

Buat masa sekarang, ciri revolusioner ini menyokong aplikasi seperti YouTube dan Amazon Kindle. HONOR juga merancang untuk meluaskan sokongan kepada beberapa aplikasi lain di masa hadapan.

Kesimpulan 

Sebagai telefon boleh lipat terkini HONOR yang paling nipis, ringan dan tahan lasak dengan hanya seberat 226g, kemasan pada peranti yang berukuran 156.6 x 145.3 x 4.4mm ini cukup menarik bersama satu tona warna penuh secara menyeluruh setaraf ciri peranti paling premium untuk golongan yang eksklusif.

Peranti dengan skrin 6.43 inci OLED 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan memori sehingga 12GB RAM + 12GB (HONOR RAM Turbo), storan sehingga 512GB dan bateri karbon-silikon generasi ketiga berkuasa 5150 mAh serta pengecasan pantas 66W.

Walaupun kelihatan ringkas, peranti ini mempunyai kemasan dua tona iaitu licin pada bahagian berhampiran bingkai kamera manakala selebihnya permukaan yang kusam seakan saduran kulit sekali gus tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian bawah.

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo berkembar.

Peranti terbaharu ini juga boleh disambungkan dengan pen pintar stylus sekali gus menjadikannya cukup praktikal kepada mereka yang sentiasa bergerak untuk kerja seharian.

Sebanyak tiga warna menarik ditawarkan untuk Honor Magic V3 iaitu Mossy Green, Silk Brown dan Classic Black. Harga runcit bagi peranti ini masih belum diumumkan dan penulis menjangkakan ia ditawarkan pada harga sekitar lebih RM7,000.

* Nantikan ulasan lebih mendalam HONOR Magic V3 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini