Sistem kedaulatan dan kawalan sempadan negara sentiasa perlu dipertingkatkan seiring dengan kemajuan ekonomi negara yang memerlukan satu sistem pengurusan aktiviti migrasi yang lebih efisien di sempadan.
Kerajaan Malaysia telah memulakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), iaitu satu sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik, dengan dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta Big Data Analytic (BDA).
NIISe adalah sistem menyeluruh dan bersepadu, memanfaatkan teknologi terkini, sofistikated serta mengoptimumkan pengautomasian bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan keimigresenan memenuhi jangkaan pengguna.
Tiga syarikat tempatan iaitu Thetha Edge Berhad, Dagang NeXchange Berhad dan HeiTech Padu Berhad dilaporkan telah disenarai pendek untuk meimplimentasi sistem pengurusan sempadan ini untuk pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Syarikat manakah yang paling layak untuk memperolehi tender ini? Adakah pengalaman serta keupayaan dijadikan kriteria paling penting untuk pemilihan? Atau, adakah syarikat yang mempunyai kewangan yang kukuh serta disokong oleh individu-individu atau syarikat-syarikat berpengaruh akan diberi keutamaan?
Difahamkan, ketiga-tiga syarikat tersebut telah dipanggil untuk satu taklimat tender seperti yang dilaporkan oleh artikel The Edge bertarikh 4 Mac lalu, menunjukkan mereka telah disenarai pendek daripada lebih 10 syarikat yang mengemukakan cadangan projek itu, yang sepatutnya bernilai di bawah RM1 bilion.
Namun, beberapa artikel seterusnya oleh The Edge dan juga sebuah akhbar lain telah membayangkan bahawa keputusan penyerahan projek lebih terarah kepada entiti Theta Edge dan DNeX.
Theta Edge Bhd melalui anak syarikatnya, Theta Telecoms Sdn Bhd, dikhabarkan baru sahaja menerima Notis Pelawaan Cadangan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membekal dan menyelenggara teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT). Ia sebahagian daripada Inisiatif Perniagaan Pintar di bawah majlis perbandaran itu bagi tempoh konsesi selama 20 tahun di bawah kerjasama awam-swasta.
Projek ini melibatkan satu angka yang besar dan Theta Edge dilaporkan akan melabur RM673.8 juta dalam projek ini untuk membangunkan IoT Ekonomi Pintar di Ampang Jaya. Persoalannya, adakah Theta Edge mempunyai kapasiti sumber kewangan yang diperlukan untuk melaksana projek NIISe nanti?
Dua projek mega digerakkan oleh satu entiti yang sama, bagaimana kekuatan dan kapasiti kewangan yang ada, tidakkah ia akan membebankan mereka sendiri?
Theta Edge juga sebenarnya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang keselamatan misi, sesuatu yang amat penting untuk projek yang dibida ini. Untuk makluman, projek NIISe ini telah mengalami kegagalan sebanyak dua kali sejak tahun 2022, sudah pasti kerajaan tidak ingin ianya gagal sekali lagi dengan hanya kesilapan memilih syarikat yang berkelayakan.
Banyak faktor perlu diambil kira kerana sekiranya ia gagal sekali lagi, bukan sahaja daripada segi masa dan tenaga, malah kos yang dibazirkan untuk ‘projek sakit’ ini turut terbuang begitu sahaja.
Berdasarkan rekod, HeiTech pula mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek IT kerajaan kerana pernah terlibat dengan pelaksanaan IT imigresen dengan memastikan piawaian keselamatan tinggi untuk projek itu.
Malah syarikat ini dilaporkan telah dipanggil sebanyak dua kali untuk ‘menyelamatkan’ beberapa projek terdahulu akibat daripada kegagalan syarikat yang memenangi pembidaan meneruskan projek-projek tersebut.
DNex pula dilaporkan meletakkan harga yang tertinggi, melebihi RM1 bilion bagi pembidaan projek ini, dan akan menggunakan satu sistem yang kini sedang diguna pakai oleh beberapa negara di dunia, sekiranya terpilih.
Namun, Dnex perlu meyakinkan lembaga pemilih yang sistem mereka pilih adalah yang terbaik untuk Malaysia kerana isu-isu tempatan agak berlainan dengan di negara tersebut dan DNex mungkin perlu melakukan justifikasi yang ketara dan perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan mendalam mengenai isu-isu tersebut.
Syarikat yang akan mengendalikan projek mega seperti NIISE sememamngnya perlu mempunyai keupayaan, sumber, pengalaman serta sokongan kewangan yang kukuh.
Syarikat tersebut harus mempunyai rekod prestasi dalam menguruskan projek keselamatan misi kritikal sebegini yang melibatkan kedaulatan negara. Ia tidak mampu untuk gagal!
Sudah sampai masanya juga projek sebegini tidak dianugerahkan kepada syarikat yang menggunakan kroni atau pengaruh ahli-ahli politik yang tidak tahu menahu apa-apa tentang perniagaan itu.
Keselamatan dan kedaulatan negara tidak harus ‘dipermainkan’.