MEWARISI legasi perniagaan keluarga dalam bidang kraftangan kini usahawan, Noor Azam Ismail mengembangkan perniagaan dengan mencipta hiasan dinding berbentuk tulisan Khat.
Beliau juga berpeluang membuka gerai jualan di Hari Peneroka Felda yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada minggu lalu dengan memperkenalkan pelbagai rekaan yang unik khas buat para pengunjung.
Beliau yang juga Pengurus Syarikat, Limanor Industri Sdn Bhd yang kini sedang bertapak di Segamat, Johor berkata, sambutan selama tiga hari ketika membuka gerai jualan di acara itu menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
“Selama tiga hari ini di sini kita dapat banyak respons yang baik, kita juga berjaya mengumpul data asas pengunjung supaya kami dapat membuat susulan selepas karnival ini berakhir.
“Jumlah jualan juga melebihi apa yang disasarkan sebelum ini, antara rekaan yang kami pamerkan adalah Mihrab dan hiasan ayat Al-Quran,” katanya ketika ditemui semasa karnival berlangsung.
Sementara itu, Pengurus Promosi ‘Hari Peneroka Felda’, Naziffuddin menyatakan karnival yang diadakan selama tiga hari itu berjaya menarik lebih daripada 500,000 pengunjung dan ia merupakan satu kejayaan yang amat besar sepanjang penubuhan Felda.
‘’Uniknya hari peneroka tahun ini kita tidak buat untuk orang peneroka sahaja, kita buat untuk seluruh rakyat Malaysia sebab kita tahu bahawa Felda ini sudah mencapai tiga juta rakyat Malaysia iaitu 10% maksudnya besarlah.
“Kita buat di MAEPS sebab kita generasi keempat, ketiga dan kelima duduk di luar rancangan, kita mahu orang lain sertai dan hargai serta raikan ‘Hari Peneroka Felda 2024’’. Katanya ketika ditemui semasa ‘Hari Peneroka’.