Berusaha selagi mampu – itulah prinsip yang dipegang oleh Juraimie Ramli, 40, dalam meneruskan kelangsungan hidup biarpun berdepan dengan cabaran sebagai seorang ibu tunggal.
Juraimie yang juga orang kurang upaya (OKU) amat teruja apabila mendapat perhatian dan menerima pelbagai bantuan dari syarikat korporat, PETRONAS, menerusi Program PETRONAS 50 Dreams.
“Saya mengganggap bantuan yang diberikan seperti kerusi roda elektrik ini, buah tangan yang tiada ternilainya kepada saya dan keluarga.
“Kerusi roda elektrik yang diberikan oleh PETRONAS ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja harian saya, tetapi turut memberikan kemudahan jangka masa panjang untuk saya cari rezeki,” katanya.
Menurutnya, kesempitan hidup mendorong beliau untuk berniaga seperti mengambil upah untuk menggunting cili kering, memotong serai dan sayuran.
“Selain daripada berniaga secara kecil-kecilan dengan mengambil upah untuk menggunting pelbagai sayuran, saya juga membuat dan menjual sabun. Itupun kalau ada permintaan, kalau tiada, saya akan mengurut dan bayaran pula bergantung kepada mereka (pelanggan).
“Kalau mengharap orang, benda tu terhad, selagi mana mampu, kita berusaha untuk buat (kerja) walaupun ada kekurangan diri,” katanya.
Beliau turut bersyukur kerana selain daripada bantuan kerusi roda elektrik, pihak PETRONAS juga membaiki keadaan rumah untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya bersesuaian dengan keupayaannya.
“Saya berterima kasih kerana ada pihak yang sudi memperuntukkan belanja untuk menambah baik rumah yang saya diami seperti tempat letak kereta bersimen, mesin basuh, kabinet dapur dan set katil yang baharu serta mesin pembancuh sabun bagi kegunaan perniagaan,” katanya.
Selain memberi bantuan, PETRONAS turut meraikan Juraimie serta anaknya yang berusia lapan tahun untuk ‘makan angin’ di Pulau Langkawi.