Perodua mempamerkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya – dikenali sebagai Myvi Conversion – yang akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu dalam membangunkan teknologi elektriknya.

Prototaip EV berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia manakala pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.

“Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia. Kerjasama ini bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Kerjasama berkenaan, yang bermula sejak September 2022, menyaksikan Perodua dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas. Kerjasama berkenaan membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV.

“Ini adalah permulaan bagi kami dan kami mahu menjadikan permulaan ini dekat dengan hati rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Perodua Myvi sebagai model pilihan bagi projek ini kerana ia adalah model kereta yang telah memenangi hati kebanyakan rakyat Malaysia.

“Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini, tetapi yakinlah bahawa kereta elektrik Perodua bakal membuat kemunculan dalam pasaran.

“Sementara itu, kami mengajak orang ramai untuk singgah ke ruang pameran Perodua di Malaysia Auto Show 2024 untuk melihat sendiri Perodua Myvi Conversion di samping menyertai pelbagai kempen menarik yang kami sediakan.

“Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelanggan untuk berinteraksi dengan kakitangan kami di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Perodua seperti Standard Outlet Baharu kami yang dilaksanakan bertujuan memberikan pengalaman yang lancar kepada pelanggan di pusat 3S kami,” katanya lagi.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini