AirAsia Drone, anak syarikat milik penuh Capital A Berhad dan SRI College Malaysia, sebuah institusi pendidikan pengurusan swasta terkemuka telah mengumumkan kerjasamanya untuk menawarkan program pengendalian dron dalam usahanya untuk memajukan industri dron di Malaysia.
Kerjasama tersebut adalah untuk membangunkan sebuah kursus Diploma dalam Pengendalian Dron secara bersama yang turut melibatkan Sijil Kecekapan Juruterbang Jarak Jauh Asas (RCOC-B) AirAsia Drone dalam kurikulum itu.
Program komprehensif ini akan memberikan para pelajar pemahaman yang lebih mendalam tentang operasi pengendalian dron, pematuhan peraturan serta amalan terbaik industri itu.
Pelajar yang mendaftar dalam program diploma tersebut akan berpeluang untuk memperoleh pensijilan RCOC-B, seterusnya meningkatkan kelayakan dan kebolehpasaran mereka dalam industri dron yang kompetitif.
Kapten Ling Liong Tien, Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia Aviation Group dan Ketua AirAsia Drone berkata, “Sebagai antara peneraju dalam industri teknologi dron, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SRI College dalam merancakkan lagi industri ini.
Penggunaan dron telah semakin diperluaskan dalam banyak industri yang kritikal seperti pertanian, kejuruteraan, pengawasan, dan kakitangan yang berkelayakan amat diperlukan untuk mengendalikannya.
Kerjasama yang telah diumumkan hari ini adalah satu batu loncatan bagi kami dalam usaha untuk memenuhi keperluan industri pengendalian dron di Malaysia.
Kami berharap para graduan akan mendapat manfaat daripada kepakaran industri AirAsia Drone dan kecemerlangan akademik SRI College Malaysia dalam memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam pengendalian dron, menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerja dan industri dron yang semakin berkembang hari ini.”
Patricia Louis, Ketua Pegawai Eksekutif SRI College berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia Drone dan ingin menyampaikan penghargaan kami di atas sokongan mereka dalam membangunkan kurikulum pengendalian dron ini bersama-sama kami di SRI College.
Berbekalkan pengalaman mereka selama bertahun-tahun di dalam industri penerbangan di samping sekutunya iaitu syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia AirAsia, kami percaya bahawa para pelajar akan memperoleh pengetahuan yang banyak dan akhirnya menjadikan mereka lebih berdaya saing di dalam pasaran pekerjaan yang semakin berkembang.