Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Dato’ Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman di pejabatnya, baru-baru ini.
Dr Mustapha yang pernah berkhidmat di Wisma Putra dari tahun 1999 sehingga 2008 berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk pelbagai isu terkini, serantau dan antarabangsa.
“Kewujudan IDFR sangat penting bagi tujuan melatih pegawai-pegawai Wisma Putra, pegawai kedutaan asing dan pegawai-pegawai kerajaan pelbagai perkara yang boleh dipelajari khususnya berkaitan hubungan antarabangsa dan diplomasi,” katanya.
Sementara itu, Syed Mohamad Bakri berkata, IDFR memainkan peranan dalam melatih pegawai-pegawai dalam perkhidmatan selain pegawai-pegawai diplomatik serta pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Selain daripada kursus teras yang ditawarkan oleh pihak IDFR iaitu kursus latihan diplomatik, IDFR juga menyediakan latihan kemahiran professional bagi membantu pegawai-pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat.
“Program-program latihan tersebut bertujuan untuk melengkapkan pegawai dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menghadapi cabaran ketika melaksanakan tugasan baik di dalam negera mahupun luar negara.
“Selain itu, para peserta kursus di IDFR turut ditawarkan untuk mempelajari bahasa-bahasa asing seperti bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan juga bahasa Arab,” katanya lagi.