Dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi dan memastikan persaraan yang bermaruah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), yang menggalas mandat dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT), yang bertanggungjawab sebagai penggerak kerjaya kedua untuk veteran ATM.
Inisiatif yang digelar Veteran MyWIRA itu akan menumpukan kemahiran dan pekerjaan yang dipacu industri dalam sektor swasta. Sebagai projek rintis, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. (Micron), sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor Malaysia turut memberikan kerjasama dan akan memanfaatkan kemahiran unik veteran ATM untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pasaran kerja.
Inisiatif Veteran MyWIRA ini merupakan kerjasama pertama rentas agensi antara TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia bersama PERHEBAT di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Majlis pelancaran yang diadakan di Pulau Pinang itu turut menyaksikan himpunan lebih 650 tetamu jemputan termasuklah pelatih ATM PERHEBAT, veteran ATM serta pemain Industri.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif Veteran MyWIRA sejajar dengan prinsip pekerjaan yang bermakna dalam kerangka ekonomi MADANI.
Selain itu, ia selaras dengan tiga tunjang asas yang telah beliau terapkan dalam kementerian, iaitu, memperkukuh kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran, dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
“Veteran ATM kami memiliki kepakaran berharga dengan kemahiran khusus dan terpakai serta-merta yang diperlukan dalam sektor seperti E&E dan aeronautik,” katanya semasa majlis pelancaran itu.
Gaya hidup mereka yang tersusun dalam tentera telah menanamkan kepada mereka tahap disiplin, profesionalisme dan komitmen yang tinggi – kualiti yang sangat dicari oleh majikan.
“Melalui Program Veteran MyWIRA, veteran ATM akan dapat meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan bagi penyesuaian dalam sektor swasta.
“Inisiatif ini memperkasa mereka untuk membuat sumbangan besar kepada ekonomi negara, meningkatkan kebolehpasaran mereka, dan meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan. Pada terasnya, pendekatan ini merangkumi prinsip memastikan ‘no one gets left behind’,” tambahnya.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari turut menekankan kepentingan inisiatif rentas kementerian yang diterjemahkan dalam inisiatif Veteran MyWIRA.