Kerajaan telah membuat suatu perubahan signifikan dalam sistem pelepasan barang gudang pengilang berlesen di Malaysia, hasil daripada kerjasama aktif antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Langkah berani ini telah mengurangkan masa pemprosesan dari 3 hari kepada hanya seminit, mencerminkan kecekapan dan kesungguhan dalam memanfaatkan masa secara optimum.
Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, adalah penting untuk telitikan peranan masa dalam mencipta perubahan yang berkekalan dan masa yang tiada henti, adalah sumber yang tidak boleh ditebus semula apabila hilang.
“Masa juga diguna untuk menilai prestasi produktiviti. Oleh itu, masa amat penting dalam membangunkan negara.
“Reformasi yang dilakukan oleh JKDM bukan sekadar mencerminkan kecekapan tetapi juga menunjukkan keberhasilan yang dapat dicapai apabila kita menghormati dan memanfaatkan masa dengan bijak,” katanya.
Beliau berkata, pembaharuan oleh JKDM memberi kelebihan daya saing kepada syarikat Gudang Pengilangan Berlesen (LMW), pengusaha pengangkutan dan aktiviti di pelabuhan. Pastinya juga ia memberi manfaat kepada rakyat sebagai pekerja dan pengguna.
Kesan pembaharuan kepada kos operasi syarikat-syarikat LMW dapat dilihat dengan penjimatan sehingga RM200 juta setahun melalui penjimatan kos penyimpanan, kos pematuhan dan peningkatan kecekapan dalam urusan perancangan keluar dan masuk barangan.
Pergerakan barangan lebih pantas daripada pengeluar kepada pelanggan sangat penting. Bagi syarikat, mereka dapat memenuhi permintaan pengguna dengan cepat, bagi pengusaha pengangkutan, mereka dapat mengurus kenderaan dengan lebih cekap, bagi operator pelabuhan, mereka dapat mengurangkan masa penyimpanan kontena.
Ekosistem yang sempurna begini, di dalam rantaian bekalan berupaya mengukuh pertumbuhan produktiviti, ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.