GVT Sdn. Bhd. yang merupakan subsidiari syarikat kumpulan GoAuto telah menandatangani perjanjian bersama Yutong Bus Co., Ltd. bagi memeterai kerjasama strategik untuk pemasaran dan pemasangan secara tempatan (CKD) serta menyerahkan pesanan untuk bas cekap tenaga (EEV) dan elektrik (EV) secara rasmi hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Wan Ahmad Wan Omar, Pengarah Eksekutif GVT dan Michael Lu, Pengurus Wilayah, Asia Pasifik, Yutong.

Susulan perjanjian yang telah ditandatangani pada Februari 2023 yang lalu, GVT kini menambah model bas EV dan EEV dari rangkaian Yutong dengan jumlah keseluruhan sebanyak 14 model. Selain itu, GVT menerima pesanan rasmi dengan permulaan 40 unit bas cekap tenaga.

“Yutong merupakan antara syarikat pengeluar bas elektrik yang terbesar dan sedang meningkat naik di mata dunia dengan jumlah pengeluaran melebihi 400 unit sehari. Pada tahun 2023 sahaja Yutong telah menjual sebanyak 36,518 unit bas tenaga baharu dan jumlah jualan kumulatif global bas tenaga baharu sebanyak 175,000 unit setakat ini. Dengan penguasaan teknologi pintar di dalam setiap pembuatan kenderaan mereka, kami yakin bas Yutong menjanjikan pengalaman memandu yang selesa dan selamat,” kata Wan Ahmad.

Operasi CKD bas EV dan EEV Yutong tersebut akan dijalankan di kilang pemasangan berteknologi tinggi pertama di Malaysia iaitu NexV Manufacturing Sdn. Bhd. yang terletak di Chembong, Negeri Sembilan.

NexV Manufacturing merupakan usaha sama di antara Careplus Group dan GoAuto Group Sdn Bhd dalam membangunkan Fasiliti Teknologi Hijau termasuk teknologi robot welding system dan painted body ED Coating System konsep pengeluaran yang sama di gunapakai oleh syarikat Yutong dalam mengeluarkan dan memasang kenderaan tenaga baharu yang di jangka mula beroperasi pada Q1 2025.

Pemasangan CKD ini dijangka dapat memberi penjimatan selama tiga bulan berbanding  dengan tempoh pemasangan secara tempatan yang ada sekarang yang mengambil masa empat hingga enam bulan.

Pesanan dan perjanjian yang menampilkan 14 model bas EV dan EEV dari Yutong Series meliputi rangkaian bas yang tampil ringkas dengan sentuhan futuristik, sesuai dengan tema bandar moden. Bas-bas Yutong series adalah mesra OKU dengan tempat khas yang disediakan untuk kerusi roda. Laluan masuknya serendah 230-300 sentimeter memudahkan para penumpang untuk keluar dan masuk dari bas tersebut.

Rangkaian bas ini juga disertakan dengan port USB untuk pemandu dan juga penumpang. Dilengkapi sistem stereng BOSCH. Masa pecutan 0-30 km dalam masa kurang 10 saat dengan gradability sebanyak 15%.

Rangkaian bas dari Yutong ini memberi keutamaan kepada ciri keselamatan. Reinforced closed ring structure dalam binaan badan kenderaannya mampu mengagihkan tekanan optimum ke seluruh bahagian kenderaan sewaktu hentakan.

Bateri, motor pemacu dan pengawal bersepadu bas Yutong Series patuh IP68 dan IP6K9K, kelas keselamatan tertinggi untuk alat gantian automotif. Tetapan beropsyen juga disediakan termasuk sistem kamera panoramik 360 darjah, sistem amaran pelanggaran, sistem brek elektronik (EBS) dan sistem brek antikunci (ABS) + kawalan anti gelincir (ASR).

Menggunakan bateri dari CATL yang merupakan antara pengeluar bateri kenderaan elektrik terbesar dunia, Yutong memiliki ciri tambahan keselamatan pada sistem penyejukan menggunakan nitrogen yang telah dipatenkan yang pada ketika ini hanya dimiliki oleh pihak Yutong.

Sistem penyejukan ini dilengkapi oleh teknologi penyelesaian keselamatan bersepadu menyeluruh yang fokus pada seluruh kenderaan sebagai satu sistem lengkap yang dikenali sebagai YESS – Yutong Electric & Battery Safety Standard (Standard Perlindungan Keselamatan Elektrik & Bateri Yutong).

Sistem YESS menawarkan lima lapisan perlindungan iaitu keselamatan kenderaan keseluruhan; keselamatan sistem; keselamatan kotak; keselamatan komponen; dan keselamatan pemantauan.  Ianya merealisasikan tiga tahap penambahbaikan utama iaitu tahap keselamatan; keupayaan semua-cuaca; dan kebolehsesuaian jalan raya.

Bas elektrik Yutong didatangkan dengan Sistem Pemacu Elektrik Pintar RECTRL dengan objektif untuk mengurangkan penggunaan kuasa dengan banyak, mewujudkan hayat bateri yang lebih lama sambil mencapai pelepasan sifar. Sistem RECTRL terdiri daripada empat teknologi elektrik dan empat teknologi pintar.

Empat teknologi elektroniknya merangkumi perubahan kelajuan tanpa langkah; dengan kemudahan ini, pemandu bas tidak perlu memijak pedal pemecut, memberi keselesaan perjalanan kepada penumpang. Seterusnya, pemulihan tenaga brek regeneratif, kemudahan ini menukarkan setiap tenaga yang digunakan sewaktu pemandu menekan brek kepada tenaga elektrik simpanan yang akan menjadi bekalan untuk perjalanan yang lebih jauh.

Dengan ini, tenaga elektrik tersebut diperbaharui dan diguna semula; selain itu, penukaran frekuensi dinamik pula membantu mengawal tenaga yang dikeluarkan oleh stereng elektriknya dengan menggunakan sistem stereng kuasa hidraulik elektrik.

Teknologi ini dapat membantu pengendalian stereng kuasa dengan lebih lancar dan pada masa yang sama menggunakan kuasa yang lebih rendah. Akhir sekali, penghawa dingin penyongsang yang berbekalkan pelarasan automatik kapasiti penyejukan. Ini dapat membantu menyesuaikan suhu mengikut persekitaran. Ianya mampu menjimatkan eletrik sebanyak 15% berbanding penyaman udara kenderaan biasa.

Empat teknologi pintar dalam sistem RECTRL pula melingkungi pengurusan tenaga pintar bagi seluruh kenderaan; pelarasan automatik kapasiti penyejukan yang boleh mengawal suhu kawasan berbeza secara berasingan; rangkaian controller area network (CAN) dan platform pemantauan jauh pintar.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini