Unit Integriti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Forum Sembang Integriti Badan Beruniform Penggerak Kesukarelawan Mahasiswa yang disertai oleh Tokoh NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung Universiti berkenaan, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican dan Bornuddin mohd Yusof@Mohamad selaku Pengarah Pusat Kokurikulum & Citra Pelajar UMT dan moderator Johari Ab Kadir, pegawai Integriti UMT yang juga penganjur Hari Intergiti UMT.

Mustapha dalam ucapan pembukaan menyatakan penglibatan mahasiswa dalam badan uniform boleh menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan sosial mahasiswa serta dapat mengangkat disiplin dan semangat kebersamaan sebagai warga universiti dan warganegara yang baik.

Johari berkata, objektif program ini adalah meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa betapa pentingnya integriti dalam aktiviti kesukarelawan khususnya badan-badan beruniform ini.

Sementara itu, Bornuddin turut menyentuh aktiviti badan beruniform dapat membentuk sahsiah mahasiswa ke arah lebih berdisplin, berkeyakinan dan berintegrasi dalam memangkin momentum kecemerlangan mahasiswa.

Katanya, keterlibatan mahasiswa-mahasiswi dalam aktiviti kokurikulum universiti amat digalakkan namun harus sentiasa memelihara integriti dan nama baik UMT selain menjaga silaturrahim serta kerjasama erat.

Mustapha berkata, antara ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang mahasiswa ialah sentiasa berfikiran positif, bersemangat, berkeyakinan serta berani dalam mendepani cabaran.

“Justeru, setiap universiti pasti mempunyai objektif yang sama iaitu melahirkan graduan yang berpotensi tinggi dan serba boleh dengan aktiviti kesukarelawan merupakan salah satu perkara yang memberi impak yang besar terhadap graduan apabila mereka menamatkan pengajian kelak.

“Aktiviti ini akan menjadi sokongan kuat ketika proses mencari pekerjaan kelak dan sedikit sebanyak menunjukkan kebolehan sesorang pelajar. Oleh itu, kesukarelawan berunifrom diperingkat universiti ini boleh membantu membina kerjaya dan menjadikan para mahasiswa seorang yang berkaliber pada masa depan,” katanya.

Program anjuran Unit Intergiti ini dihadiri hampir 350 graduan dari badan beruniform dan jurulatih serta kakitangan dari unit Integriti dan Pusat Kokurikulum & Citra pelajar UMT.