Trak pikap Isuzu D-Max dengan kemampuan luar biasa dan peraih pelbagai anugerah telah dipilih untuk membantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam usaha mereka untuk masuk ke kampung Orang Asli yang berada di kawasan pedalaman di seluruh negara bagi aktiviti pendaftaran kewarganegaraan.

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman menerima tiga unit Isuzu D-Max 3.0 liter automatik
daripada Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo dalam satu majlis ringkas di
Rompin bagi tujuan tersebut.

Bercakap dalam majlis berkenaan, Sogo memaklumkan bahawa reputasi Isuzu D-Max yang
telah terbukti sebagai sebuah kenderaan yang boleh diharap pastinya akan mempermudahkan lagi urusan jabatan kerajaan itu.

“Trak pikap Isuzu telah menerima pengiktirafan dan meraih reputasi sebagai sebuah
kenderaan yang boleh mengharungi apa juga keadaan dan permukaan jalan. Kemampuan
Isuzu D-Max untuk melunasi tugasan seperti itu tidak dapat di atasi oleh kenderaan lain, dan kami sangat yakin bahawa D-Max baru ini akan mampu berkhidmat dengan sangat baik untuk JPN dalam menjalankan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selain enjin 3 liternya yang berkuasa, dan dipadankan dengan sistem pacuan empat roda
yang menampilkan ciri differential lock untuk memberikan cengkaman padu terhadap apa
jua permukaan, Isuzu D-Max juga mempunyai kemampuan untuk meredah air sedalam 800 mm.

Ini membolehkannya menyeberang saliran, sungai atau jalan banjir dengan yakin, serta
akan memudahkan pasukan untuk pergi ke destinasi mana pun dan pulang dengan selamat.

Tiga Isuzu D-Max yang diserahkan itu akan digunakan untuk berkhidmat di pejabat JPN di
Kuala Mu, Perak; Gua Musang, Kelantan; dan Kuala Rompin, Pahang. Peranan utamanya
adalah untuk bergerak bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan memasuk ke
perkampungan Orang Asli untuk mendaftarkan penduduk, terutamanya bayi yang baru lahir di kawasan berkenaan.

Bagi memastikan perjalanan selamat untuk kenderaan dan semua penumpang, semua Isuzu D-Max tersebut telah dilengkapi dengan winch, palang pelindung, kanopi serta tayar untuk kegunaan di permukaan berlumpur.