Ahli Lembaga Pengarah Cradle Fund Sdn  Bhd (Cradle), agensi fokal ekosistem startup Malaysia di bawah Kementerian  Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan sukacitanya mengumumkan  pelantikan Norman Matthieu Vanhaecke sebagai Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan, berkuatkuasa pada 23 November 2023.

Dilahirkan daripada keturunan Melayu dan Belgium, Norman telah menjawat  jawatan sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle sejak 1 Jun  2022. Sebelum menyertai Cradle pada tahun 2020 dan menyandang jawatan  sebagai Ketua Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, beliau telah berkhidmat  sebagai juruaudit di KPMG serta memegang pelbagai jawatan utama di bahagian  Strategi, Kewangan dan Pengurusan bagi syarikat petroleum tempatan, serta  syarikat multinasional dan agensi kerajaan.

Beliau memiliki ijazah dalam bidang  Perakaunan daripada University of Queensland, Australia, dan ijazah dalam  Kejuruteraan Perisian daripada Universiti Multimedia, Malaysia. Latar belakang  serta bidang pengajian beliau telah memupuk minat Norman dalam bidang  teknologi dan inovasi, dalam masa yang sama, melonjakkan semangat beliau  dalam memacu startup tempatan untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat  global.

Pengerusi Cradle Datuk Yvonne Chia menyokong pelantikan ini, tambah beliau Ahli  Lembaga Pengarah Cradle mengutamakan kenaikan pangkat secara dalaman  kerana ia mencerminkan kepakaran bakat Cradle. “Sejak 18 bulan lalu, Norman  telah membuktikan kepimpinan beliau sebagai Pemangku Ketua Pegawai  Eksekutif Kumpulan yang dilihat telah memberi impak yang ketara kepada Cradle.

Dengan latar belakang serta rekod pencapaian yang memberangsangkan, saya  yakin Cradle akan terus menerajui agenda startup negara dan terus memberi  impak positif kepada masyarakat, individu dan perniagaan, selari dengan aspirasi  Malaysia MADANI,” kata Datuk Yvonne.

Cradle merakamkan setinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh  Kementerian Kewangan (MOF) dan MOSTI sejak penubuhan agensi ini.

Kerjasama erat di antara Cradle dan kedua-dua kementerian ini telah memainkan  peranan penting dalam membentuk ekosistem startup yang inklusif, berkesan dan  mampan, sejajar dengan sasaran Kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam 20  Ekosistem Startup Global Terbaik menjelang 2030. Komitmen teguh MOF dan  MOSTI telah memacu pertumbuhan startup dan menyumbang kepada landskap  ekonomi yang menyeluruh.