Peminat sukan skuasy bakal menyaksikan pertarungan mendebarkan pada November ini menerusi penampilan sulung kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023.

Kejohanan Peringkat Gangsa ini menjanjikan acara hebat selama lima hari yang menampilkan barisan pemain skuasy ternama dunia, Mostafa Asal, Nour El Tayeb dan Juara Remaja Dunia, Amina Orfi.

Dianjurkan oleh ACE Sport and Management Sdn Bhd, pemegang hak eksklusif untuk Siri Jelajah Dunia PSA – Peringkat Gangsa, kejohanan ini akan mengukuhkan Negeri Sembilan sebagai destinasi skuasy utama Asia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ACE Sports & Management, Chandaran Munusamy, ACE Malaysia Squash Cup 2023 merupakan acara penting yang akan mendorong skuasy Malaysia ke persada global.

Chandaran menekankan bagaimana kejohanan ini berfungsi sebagai pentas yang penting bagi pemain tempatan dan serantau, dengan ‘secara efektif’ mendekatkan jurang bagi para profesional muda yang mencari pendedahan antarabangsa.

“Kejohanan 12 Squash Satelit PSA WSF telah menjadi asas kami, dan kini acara ACE Malaysia Squash Cup 2023 menandakan langkah seterusnya dalam membawa acara-acara bertaraf dunia ke landskap sukan Malaysia,” katanya.

Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 akan berlangsung mulai 6 hingga 10 November dengan kehadiran pemain dari 20 negara.

Pada masa sama, Siri Kejohanan Satelit PSA WSF peringkat ke-13 akan berlangsung mulai 8 hingga 10 November di tempat yang sama dengan jangkaan lebih daripada 4,000 penonton untuk kedua-dua kejohanan.

Kejohanan penuh aksi ini diadakan di gelanggang skuasy terkini di Kompleks Sukan Dato’ Hj Mohd Said, Negeri Sembilan.

Perlawanan akhir akan diadakan di gelanggang berkaca baharu di kompleks skuasy moden yang sama.

Exco Pelancongan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan membayangkan kejohanan tersebut sebagai pemangkin dalam sektor pelancongan dan lambang kecemerlangan sukan dan hospitaliti yang bakal menarik perhatian dunia menerusi penyiaran di Astro dan Squash TV.

“Sukan adalah aktiviti menyihatkan yang menggalakkan gaya hidup sihat. Acara antarabangsa seperti ini akan menarik perhatian mengenai apa yang boleh ditawarkan negeri ini dalam sektor pelancongan sukan,” kata Nicole ketika majlis pelancaran piala tersebut di Klana Resort Seremban hari ini.

Sementara itu, pengunjung bakal menikmati suasana seperti karnival manakala pemain skuasy akan mendapat manfaat daripada klinik skuasy yang ditawarkan oleh Faragallah Squash and Fitness Academy (FSA) dari Kaherah, Mesir.

Majlis pelancaran berkenaan juga disaksikan oleh Duta Besar Mesir ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ragai Tawfik Said Nasr.

Low Wee Wern, pemain Malaysia pada kedudukan ke-62 dunia, menzahirkan kegembiraannya kerana berpeluang bermain bersama barisan bakat muda terutama dalam acara satelit.

“Ini adalah peluang unik bagi pemain muda untuk bersinar bersama pemain yanG menduduki ranking dunia terutamanya mereka yang bermain dalam acara satelit,” kata Low.

Exco Belia & Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor, pula menjanjikan sokongan padu dalam mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab skuasy di Asia.

“Kami mempunyai ruang, kemudahan dan tenaga pakar untuk penganjuran kejohanan antarabangsa ini. Kami akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan mutu skuasy Negeri Sembilan,” katanya.

Kejohanan Peringkat Gangsa dengan hadiah kemenangan sebanyak AS$51,500 bakal disiarkan di Astro Arena dan platform dalam talian Squash TV, dengan pasukan media PSA turut menyiarkan acara berkenaan di laman web dan media sosial mereka.