HeiTech Padu Berhad (HeiTech) melalui PT Desa Tech Nusantara (DesaTech) melancarkan GuruPRO iaitu platform sistem pengurusan pembelajaran digital di Indonesia. DesaTech ialah syarikat pelaburan HeiTech untuk melaksanakan inisiatif baharu di Indonesia.

GuruPRO ialah inisiatif terbaharu HeiTech di Indonesia yang memfokuskan sektor pendidikan selepas pelancaran sistem pengurusan sekolah, ProSchool awal tahun ini. Tidak seperti ProSchool yang menumpukan pada pengurusan dan pentadbiran sekolah, GuruPRO
menyasarkan untuk menambah baik sektor pendidikan dengan memberi tumpuan kepada
hubungan pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar.

“GuruPRO bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaedah pengajaran tradisional dan
kemajuan teknologi moden, memperkasakan pendidik dalam memberikan pengalaman
pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan untuk pelajar,” kata Salmi Nadia Mohd Hilmey, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan HeiTech.

Salmi Nadia Mohd Hilmey Group Chief Operating Officer HeiTech Padu

Salah satu ciri GuruPRO adalah ianya membolehkan para guru berkongsi pengalaman, sukatan pelajaran dan kaedah pengajaran mereka dengan pendidik lain. Dengan memanfaatkan sistem pengurusan pembelajaran ini, guru boleh bekerjasama dan meningkatkan amalan pengajaran mereka dan seterusnya memberi manfaat kepada sistem pendidikan di Indonesia.

“Kami berharap GuruPRO akan membantu mengurangkan jurang yang mungkin wujud dalam sektor pendidikan disebabkan pengagihan akses teknologi pendidikan yang tidak sekata di Indonesia,” katanya.

“Kami gembira menjadi penghubung antara guru dan pelajar dari seluruh pelusuk Indonesia. Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam teknologi, kami berharap dapat memberi sumbangan bermakna dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di rantau Nusantara ini termasuk di bidang pendidikan.

“Kami percaya dengan kuasa teknologi untuk merapatkan jurang pendidikan dan memastikan akses yang sama rata kepada pendidikan berkualiti untuk semua peringkat tanpa mengira latar belakang mereka. Kami ingin menyerlahkan potensi sebenar mereka, dan bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” kata Salmi
Nadia yang juga Pengarah DesaTech.

Ciri-ciri lain dalam aplikasi GuruPRO merangkumi Sistem Pengurusan Pembelajaran, Buku
Digital, LapakGuru dan Bootcamp. Ciri-ciri ini bukan sahaja untuk menambah baik proses
pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga berfungsi sebagai nilai tambah melalui perkongsian kursus atau bahan yang bermaklumat dan interaktif.

“Terdapat juga slot video di mana video pendek boleh dimuat naik untuk manfaat guru dan
pelajar,” tambahnya.

GuruPRO adalah hasil kerjasama antara Desa Tech dengan organisasi Profesional Guru
Merdeka atau “GM Pro” yang bercita-cita untuk meningkatkan kualiti dan kehidupan guru di
Indonesia.

Melalui kerjasama ini, GM Pro berhasrat untuk menaikkan taraf guru yang masih bertaraf kehormat dan belum mencapai gred lulus menjadi guru profesional sepenuhnya.

Kira-kira 300 guru dari kawasan Kabupaten Bogor hadir pada majlis pelancaran tersebut. Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Bpk H. Dadeng Wahyudi (Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Bogor dan Pengasas GM Pro), Bpk Aries Muftie, Pengasas Gerakan Desa EMAS, Bpk Dr. Fifi Hanafia (Ahli Lembaga Pendidikan Bogor), Bpk Erick Muftie, Pengarah DesaTech, Salmi Nadia, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan HeiTech dan Pengarah DesaTech.