Hampir setiap hari dan setiap masa kita sentiasa menggunakan peralatan digital khususnya peranti seperti telefon bimbit.

Anda sendiri boleh bayangkan hidup seperti tidak lengkap sekiranya tiada telefon pintar ditangan kerana segala data disimpan atau aplikasi digunakan berkait rapat dengan kehidupan seharian.

Peranti mudah alih juga digunakan untuk memesan makanan, menempah kenderaan, membuat tempahan tiket penerbangan, membuat pindahan wang dan pelbagai lagi kegunaan yang boleh digunakan di hujung jari.

Sekiranya anda seorang yang tegar dengan media sosial, peranti ini juga memainkan peranan penting untuk memuatnaik setiap hantaran sama ada gambar atau video dimana-mana platform seperti Twitter, Facebook mahupun TikTok.

Maka tidak hairanlah peranti seperti Samsung Galaxy A54 5G dilengkapi aplikasi Digital Lifestyle atau Gaya Hidup Digital yang membantu anda menggunakan peranti ini untuk kegunaan harian.

Antara ciri yang ada pada aplikasi ini ialah anda boleh menguruskan kalendar harian pada peranti ini dengan hanya menggunakan pengecaman suara Bixby meskipun pada skrin yang telah dikunci.

Selain itu, anda juga boleh menghubungkan peranti anda dengan jam tangan Galaxy Watch  yang merekodkan berat badan, lemak badan, tahap stress, tahap tidur dan pelbagai lagi dengan mudah.

Menerusi aplikasi ini, anda boleh memantau tahap kecergasan setiap hari termasuk mensasarkan jumlah langkah malah boleh bersaing dengan rakan-rakan lain dan berkongsi info yang direkodkan.

Jika mahukan bantuan dalam penulisan dan ejaan bahasa Inggeris, papan kekunci Samsung sedia membantu daripada segi ‘Grammar’ yang betul sekali gus mengelakkan berlaku kesilapan kecil ketika anda sedang membalas mesej dalam bahasa Inggeris. Hebat bukan!

Jika menggunakan fon telinga atau Galaxy Buds, aktifkan sahaja Bixby untuk mendapatkan sebarang bantuan menggunakan peranti mudah alih ini.

Dalam pada itu, anda juga boleh menetapkan had masa dan akses kawalan kepada aplikasi dan kandungan untuk kanak-kanak menjadikan peranti ini selamat digunakan oleh kanak-kanak.

Satu lagi ciri yang menarik perhatian penulis ialah ciri keselamatan dan kecemasan. Antara ciri yang ada ialah info perubatan, nombor kecemasan, perkongsian kecemasan dan amaran bencana seperti gempa bumi.

Untuk mengaktifkan amaran gempa bumi, anda terlebih dahulu perlu mengaktifkan tetapan lokasi kerana sistem amaran ini akan menghantar mesej dalam bentuk bunyi yang bingit terus ke telefon pintar anda apabila gempa bumi dikesan oleh ShakeAlert atau mana-mana peranti Android lain.

Anda akan menerima amaran gempa bumi apabila sistem amaran mengesan magnitud pada tahap 4.5 ke atas dan ini bergantung kepada lokasi semasa anda berada.

Anda juga dibekalkan dengan info apa yang perlu dilakukan apabila gempa bumi berlaku seperti berlindung dibawah meja, meniarap dengan memegang kaki meja menerusi paparan demo gempa bumi yang dianggarkan pada tahap magnitud 6.1 pada jarak sejauh 10.1 batu.

Kesimpulannya, segala-galanya ada pada peranti terbaharu Samsung Galaxy A54 ini kerana beberapa penambahbaikan telah dibuat untuk memastikan pemiliknya dapat menggunakan peranti ini dengan lancar pada setiap masa.