Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) telah menghulurkan sokongan kepada wanita yang kurang mendapat peluang dengan membantu mereka menjana pendapatan tambahan serta memperkasakan mereka dengan pengetahuan kesihatan wanita sebagai sebahagian daripada komitmen Bank kepada komuniti tempatan.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2023, Alliance Bank bekerjasama dengan Pertubuhan
Women of Will (WOW) dan Libresse bagi menganjurkan inisiatif selama tiga hari di lima buah kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.

Program ini menampilkan Ceramah Kesihatan Wanita yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan reproduktif wanita.

Inisiatif ini berjaya menjangkau seramai 350 orang wanita. Setiap peserta program turut menerima sumbangan barangan runcit dan makanan bernilai RM150 dan ini secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada lebih 1,700 orang ahli keluarga.

Alliance Bank juga membeli biskut daripada Dapur Komuniti WOW untuk diedarkan
dalam pek sumbangan. Hasil daripada pembelian biskut ini dapat membantu meringankan beban kewangan penerima bantuan WOW yang terdiri daripada ibu tunggal yang kurang
berkemampuan, wanita yang bertanggungjawab mencari nafkah keluarga serta anak-anak
mereka.

“Sebagai sebuah institusi kewangan yang bermatlamat untuk menjadi bank yang rapat dengan komuniti, kami ingin mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat di mana kami beroperasi untuk lebih memahami dan memenuhi keperluan mereka.

“Memenuhi misi Alliance Bank, “Building Alliances to Improve Lives” ataupun “Membina Ikatan bagi Mempertingkatkan Kehidupan”, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sehaluan, WOW dan Libresse, yang memiliki objektif yang sama untuk memperkasakan wanita yang merupakan tulang belakang keluarga dan menambah baik taraf hidup masyarakat,” kata Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan Alliance Bank untuk memberi peluang membangunkan perniagaan mampan kepada wanita kurang mendapat perhatian yang bekerja dengan WOW untuk membantu mereka menjana pendapatan tambahan dan berdikari daripada segi kewangan,” kata Datin Wira Goh Suet Lan, Pengasas dan Presiden Women Of Will (WOW).