Pembangunan bersepadu pertama ParkCity Group di Desa ParkCity, Kuala Lumpur meraih sambutan menggalakkan selepas mencatatkan 73 peratus kadar jualan unit kediaman yang ditawarkan menerusi majlis Priority Sales yang berlangsung pada 26 dan 27 November lalu.

Noöra, projek bertemakan Scandinavian ternyata mendapat perhatian positif apabila pembeli berpotensi sanggup berbaris seawal jam 4 petang, sehari sebelum majlis Priority Sales berlangsung untuk pelanggan yang telah mendaftarkan minat mereka sebelum ini.

Senario sama yang turut berlaku pada pelancaran projek sebelum ini di Desa ParkCity itu, jelas membuktikan populariti berterusan perbandaran berkenaan dalam kalangan pembeli dan pelabur hartanah.

Noöra merupakan pembangunan yang terletak di plot tanah berstatus pegangan bebas seluas 6.63-ekar di kawasan selatan pinggir Desa ParkCity. Dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion, projek pembangunan itu merangkumi 1,156 suite kediaman yang dibahagikan dengan dua menara berketinggian 52-tingkat, selain ditawarkan dengan podium runcit berkeluasan 50,000 kaki persegi.

Disasarkan untuk penghuni milenium bujang dan keluarga muda, suite kediaman yang
ditawarkan adalah berkeluasan dari 520 kaki persegi hingga 1,282 kaki persegi, manakala
harganya pula bermula RM900 hingga RM1,000 bagi setiap kaki persegi.

Bagi komponen runcit yang dikenali sebagai Noöra Walk pula, ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh ParkCity bagi menawarkan pengalaman runcit lebih tersusun menerusi penawaran ruang kerja bersama, studio kecergasan, kedai F&B, kedai runcit serta cadangan perkhidmatan gaya hidup lain.

“Berikutan pengalaman pandemik COVID-19, kebanyakan daripada kita menyedari apa yang penting dalam hidup bukanlah berkaitan dengan kepentingan diri sendiri semata-mata.

“Keutamaan kami telah berubah dan kini kita lebih menghargai kehidupan ringkas tetapi
bermanfaat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ParkCity Group, Datuk Joseph Lau.

Visi Noöra adalah untuk membentuk “kehidupan komuniti yang inklusif” dengan menyusun dan menyepadukan ruang untuk bekerja, menjalani kehidupan serta bergaul bersama.

Ruang gunasama Noöra pula mengguna pakai konsep spatial Fourth Place di mana ia meluaskan lagi peranan kediaman yang membolehkan aktiviti peribadi dan sosial dapat dilaksanakan, tidak kira sama ada untuk bekerja, bermain atau berehat.