Apa yang menarik sangat peranti boleh lipat Samsung ini? Adakah disebabkan saiz yang kompak atau mini, gaya yang ‘stylo’, mahu nampak mewah ataupun menjadi fesyen terkini golongan remaja masa kini?
Agak sukar nak diperjelaskan kerana semua ini terpulang kepada selera dan minat masing-masing kerana ada sesetengah pengguna peranti lebih gemarkan skrin besar dan ada yang gemarkan skrin kecil atau mungkin juga ada kaitan dengan faktor umur pengguna itu sendiri.
Samsung meneruskan legasinya dalam menerajui peranti boleh lipat dengan proses yang sangat rapi dan teliti untuk mencipta peranti yang boleh dipercayai dan mampu mengekalkan prestasinya walaupun selepas beberapa tahun digunakan.
Prebiu.com yang diberikan peluang sekali lagi menguji peranti terbaharu Galaxy Z Flip4 berwarna Graphite ini berpendapat beberapa ciri tambah baik dilakukan pada peranti ini bagi memberikan pengalaman yang mengujakan.
Menurut Samsung, pada tahun lalu, Galaxy Z Flip3 muncul peranti skrin boleh lipat dengan jualan tertinggi berbanding Galaxy Z Fold3.
Kedua-dua peranti adalah telefon pintar boleh lipat premium yang dibina dengan hasil rekaan dan inovasi andalan yang digemari dan diharapkan oleh pengguna Samsung.
Peranti generasi keempat yang menentukan kategorinya tersendiri ini menggabungkan penambahbaikan utama seperti yang diminta oleh pengguna telefon pintar boleh lipat Samsung menjadikannya lebih tahan lama dengan pengalaman yang lebih optimum daripada rekaan sebelumnya.
Apa yang menarik pada peranti sebesar tapak tangan Z Flip4 kali ini? Jika dilihat pada pandangan mata kasar tidak ada banyak perubahan selain tampil dengan warna baharu namun tetapi kali ini lebih menekankan kepada aspek dalaman.
Dalam ulasan penuh pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasinya lebih baik dengan beberapa ciri yang dinaik taraf daripada model Z Flip3 yang diperkenalkan tahun lalu.
Bagi mereka yang menginginkan peranti penuh gaya berserta pelbagai fungsi, Z Flip4 adalah peranti ideal dengan reka bentuknya yang anggun, kompak, dan bersaiz poket, dijana dengan cip pemprosesan Android paling berkuasa di pasaran iaitu Snapdragon 8+ Gen 1.
Peranti ini juga dipadankan dengan memori 8GB RAM dengan sokongan memori maya RAM Plus sehingga 8GB RAM. Storan dalaman peranti adalah 128GB, 256GB dan buat kali pertama ada pilihan 512GB. Bateri juga lebih besar dengan kapasiti 3700mAh dan akhirnya menyokong pengecasan pantas 25W Super Fast Charging.
Rekaan Luaran Lebih Ramping
Peranti seberat 187 gram ini secara kasarnya memiliki saiz luaran 84.9 x 71.9 x 15.9-17.1 mm ketika dalam kedudukan lipat, cukup sesuai untuk disimpan dalam kocek seluar atau dalam beg dompet golongan wanita yang mahukan kelainan dalam penampilan.
Galaxy Z Flip4 dihasilkan dengan mekanisme lipatan ditambah baik lagi bagi membolehkan lipatan yang lebih kemas sekali gus membuatkan peranti menjadi lebih nipis pada kedudukan tertutup.
Pada panel luaran pula terdapat skrin mini sebesar 1.9″ SAMOLED yang masih dikekalkan sebagaimana model tahun lalu.
Apa yang menarik ialah skrin luaran ini menggunakan kaca Gorilla Glass Victus yang lebih tahan lasak menentang hentakan sekali gus memberikan kelebihan sekiranya peranti ini tiba-tiba terjatuh atau terlepas daripada gengaman tangan.
Skrin luaran ini juga boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi penting, membaca mesej, menjadi skrin untuk swafoto dan hadir dengan widget untuk mengakses beberapa tetapan penting. Mudah bukan!
Sekiranya anda memiliki jam pintar Galaxy Watch5, paparan pada imej skrin luaran ini boleh dipadankan dengan skrin pada tangan pintar terkini dengan Wear OS ini.
Seperti peranti Z Fold 4, bahagian sisi kini lebih rata dengan bahagian engsel dikemaskini bagi membolehkan peranti mempunyai saiz fizikal lebih nipis pada kedudukan tertutup.
Revolusi Hideaway Hinge, yang diperkenalkan pertama kali pada Galaxy Z Flip, membolehkan peranti kekal berada pada kedudukannya di sebarang sudut untuk pengalaman pengguna yang inovatif dengan mod Flex.
Inovasi Skrin
Skrin boleh lipat peranti ini sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segar semula 120Hz secara adaptif lengkap dengan lapisan kaca Ultra Thin Glass (UTG) generasi terbaru.
Skrin peranti ini turut menyokong mod HDR10+ untuk aplikasi seperti Netflix dan YouTube. Kandungan nampak terang dan jelas ketika digunakan untuk tempoh masa yang pendek.
Bagaimanapun, apabila peranti ini dibuka, pengguna masih boleh jelas melihat kesan lipatan namun pada pandangan penulis isu berkenaan tidak perlu menjadi isu utama kerana apa yang penting ialah saiz mininya sebesar tapak tangan cukup selesa disimpan dalam kocek atau beg tangan wanita.
Menurut Samsung, peranti ini sudah menjalani ujian itensif di makmal dengan sehingga 200,000 kali dibuka dan ditutup tanpa sebarang kerosakan.
Perlindungan kalis air IPX8 turut dikekalkan dan untuk sistem operasi, Z Flip4 menjalankan One UI 4.1.1 berasaskan Android 12 dengan beberapa ciri baharu seperti FlexCam yang dihasilkan bersama-sama dengan Meta untuk sokongan lebih baik pada Facebook, WhatsApp dan Instagram.
Untuk keselamatan, peranti ini juga masih kekal dengan pengimbas cap jari pada sisi melalui butang kuasa. Rekaan peranti selain lebih kompak, ia juga adalah lebih rata secara keseluruhan menjadikan peranti ini lebih sedap untuk dipandang.
Rekaan Luaran
Permukaan peranti belakang dan bahagian sisinya diperbuat daripada bahan aluminium tahan lasak manakala saiz engsel serta bezel telah diubah pada Z Flip4 apabila kelihatan dikecilkan sekali gus menjadikan peranti ini lebih ringan digengam dalam tangan.
Samsung Galaxy Z Flip4 dilengkapi cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 3700 mAh. Pengecasan berwayar telah ditingkatkan kepada 25W dengan nirwayar pula 10W dan pengecasan berbalik 4.5W.
Ciri terdahulu seperti Flex Mode masih dikekalkan untuk membolehkan peranti ini diletakkan pada permukaan meja untuk tujuan telesidang tanpa sokongan atau kerangka khas.
Dalam suasana dimana semua rakyat Malaysia kini hidup dalam endemik dikelilingi wabak COVID-19, dan budaya telesidang bagi yang “bekerja dari rumah” sudah menjadi kebiasaan, kelebihan pada peranti ini boleh diletakkan di atas meja dalam kedudukan huruf L bagi memudahkan proses mengambil swafoto atau mengadakan persidangan video menerusi aplikasi Webinar Zoom.
Speaker stereo dibekalkan lengkap dengan sokongan audio Dolby Atmos. Kekisi audio di bahagian bawah dipadankan dengan speaker lebih kecil di gagang telinga. Dalam konfigurasi ini audio tidak begitu terang dengan speaker bawah jelas lebih lantang.
Ciri Kamera
Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2 dengan dilengkapi sistem OIS.
Dari segi spesifikasi, tiada perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera dan RAM berbanding Z Flip3 5G tahun lalu manakala zum secara digital sehingga 10X.
Kelebihan menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 menjadikan peranti Samsung ini memberikan hasil gambar dengan kualiti lebih baik iaitu 65 peratus lebih terang.
Namun apa yang menarik pada ciri baharu peranti ini ialah Flex Cam yang mana peranti boleh dipegang seperti sebuah kamera video camcorder klasik ketika merakam video.
Selain itu, paparan skrin mini sebesar 1.9″ pada peranti ini juga boleh diubah dengan meletakkan gambar anda sendiri atau gambar emoji sekali gus menjadikan peranti ini sentiasa ceria dan seronok untuk dimiliki.
Ciri Kelebihan
Galaxy, Z Flip4 masih kekal dilengkapi dengan ciri IPX8 menjadikannya kalis air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan ataupun peranti ini terjatuh dalam air.
Kedua-dua peranti ini juga dibina menggunakan bahan Armor Aluminium iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy—berserta Corning® Gorilla® Glass Victus™ yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.
Paling menarik, nada dering terbaharu iaitu Over the Horizon by SUGA of BTS yang dicipta bersama kumpulan K-Pop BTS terkemuka dari Korea Selatan tersenarai sebagai pilihan nada dering peranti hebat ini.
Kelebihan dilengkapi dengan cip terkini Snapdragon 8+ Gen 1 ialah CPUnya lebih 17 peratus pantas manakala GPU dan NPUnya 66 peratus lebih baik berbanding peranti terdahulu.
Peranti ini sudah mula dibuka untuk pra tempahan bermula 10 Ogos sehingga 1 September. Mereka yang menempah dalam tempoh ini akan menerima baucar bernilai RM450, kerangka pelindung Flap Leather serta perlindungan Samsung Care+ untuk 1 tahun jaminan tambahan dan perlindungan skrin.
Empat warna menarik ditawarkan iaitu Bora Purple, Graphite, Pink Gold dan Blue.
Untuk makluman pembaca, pada tahun ini buat pertama kalinya, Samsung memperkenalkan Z Flip4 edisi Bespoke kepada pengguna di Malaysia. Sebelum ini edisi Bespoke hanya ditawarkan kepada pengguna di Korea Selatan dan Amerika Syarikat sahaja.
Pilihan lima warna untuk panel atas, lima warna untuk panel bawah dan tiga warna untuk bingkai serta engsel ditawarkan kepada pelanggan. Versi ini akan dijual pada harga yang lebih premium berbanding Z Flip4 biasa dan pelanggan perlu menunggu antara 4-6 minggu sebelum peranti tiba di tangan.
Apa yang menarik dengan Edisi Bespoke ialah ia datang dengan kombinasi 75 warna unik yang boleh digabungkan dengan citarasa sendiri.
Harga Jualan Samsung Galaxy Z Flip4
RM4,099 (8/128GB)
RM4,399 (8/256GB)
RM4,899 (8/512GB)
RM4,599 Bespoke Edition (8/256)
Kesimpulan
Z Flip4 direka untuk memberikan pengguna kemampuan terbaik untuk merakam dan berkongsi kenangan. Pengguna boleh menggunakan gambar swafoto bebas-tangan yang lebih menakjubkan dengan mod Flex.
Anda juga boleh membiarkan peranti tersebut berlipat dan dapat merakam gambar dengan pantas dan kini boleh merakam video terus dari skrin penutup menggunakan Quick Shot yang dipertingkatkan dengan hanya dua kali klik pada kekunci kuasa Z Flip4.
Peranti ini juga sangat sesuai untuk bersantai dan menonton vlog YouTube atau rancangan TV secara bebas tangan. Hanya letak atas permukaan meja yang rata, anda boleh berswafoto tanpa memerlukan sebarang tripod.
Dilengkapi sistem pembesar suara Stereo Z Flip4 yang dipertingkatkan dengan Dolby Atmos®, anda mendapat bunyi yang mengasyikkan dengan kejelasan, kedalaman dan kesan spatial yang luar biasa, tidak kira apa yang anda tonton atau dengarkan.
Memiliki peranti yang premium dan eksklusif ini menjadi satu kelebihan bagi mereka yang mahukan gaya trendy serta citarasa tinggi dan paling best bateri lebih besar untuk penggunaan jangka hayat yang lama.