PROTON hari ini memuktamadkan perjanjiannya untuk menjual dan servis kenderaan tenaga baharu (EV) premium daripada smart Automobile Company (smart) di Malaysia dan Thailand dengan menandatangani Perjanjian Pengedaran Am.

Model pertama smart yang akan dijual oleh PROTON semasa fasa pertama kerjasama ini akan dilancarkan pada awal suku akhir tahun 2023.

Kerjasama utama antara PROTON dengan smart adalah untuk penjualan kenderaan, namun, terdapat pembangunan keseluruhan untuk menembusi pasaran tenaga baharu.

Sebagai contoh, syarikat mengumumkan hasratnya untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyedia dan memasang unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat mengecas kenderaan mereka
di rumah.

Antara perkara yang sedang diterokai oleh Syarikat dengan kemasukan ke dalam pasaran ini adalah untuk menarik bakat muda.

Dengan peralihan pantas dalam pemilihan pekerjaan, PROTON akan melaksanakan rancangan jangka masa panjang untuk pelestarian dan kecekapan tenaga serta meningkatkan skor ESGnya bagi menarik minat pekerja industri automotif generasi akan datang.

“Hari ini merupakan satu langkah besar bagi PROTON dalam menembusi pasaran kenderaan tenaga baharu.

Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman yang berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV tetapi juga mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan.

Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu PROTON ke arah menjadi lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha untuk membantu Malaysia mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050,”
kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.