Zurich Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama dengan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) bagi melaksanakan dan mempercepatkan usaha pemuliharaan untuk menyelamatkan dipterokarpa, sejenis keluarga pokok kayu yang penting, daripada kepupusan.

Keluarga Dipterocarpaceae terdiri daripada 16 genera dan 700 spesies yang diketahui, di mana 162 daripadanya adalah endemik kepada Borneo dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.

Dipterokarpa jarang berbunga dan tempoh pembungaannya tidak teratur. Pembungaan berlaku sekali atau dua kali setiap 10 tahun, dan adakalanya lebih lama. Menambah cabaran proses pemuliharaan, dipterokarpa mempunyai benih yang tidak boleh disimpan dalam bank biji benih kerana ia tidak berdaya hidup apabila dibekukan atau dikeringkan.

Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho mengulas, “Dipterokarpa adalah tulang belakang ekosistem hutan hujan tropika Malaysia yang menyokong pelbagai bentuk kehidupan. Ia juga merupakan batu asas penuaian mampan, sering digunakan sebagai sumber kayu berharga, minyak pati, balsam dan resin yang mendokong ekonomi tropikal.

Malangnya beberapa spesies dipterokarpa diancam kepupusan. Jika ianya pupus, begitu juga nasib semua kehidupan yang disokongnya.

Kami berharap langkah untuk memulihara warisan biologi penting ini menjadi sumber inspirasi masyarakat untuk mengenalpasti dan menyokong usaha-usaha menangani perubahan iklim, dan membantu masyarakat untuk menjadi lebih berdaya hidup dan membina masa depan yang lebih cerah bersama.

Sebagai salah satu syarikat korporat yang menandatangani ikrar 1.5 darjah Celsius Sasaran Perniagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kolaborasi bersama TRCRC juga menyokong komitmen kami untuk mengehadkan purata kenaikan suhu global kepada 1.5°C berbanding paras pra-industri kerana pokok-pokok ini bertindak sebagai sinki karbon.”

Zurich Malaysia

Pengarah Eksekutif TRCRC, Dr Dzaeman Dzulkifli menambah, “62% daripada semua spesies dipterokarpa di Borneo adalah terancam. Kita tidak boleh berdiam diri dan melihat spesies utama ini hilang kerana habitat yang diliputi hutan mengandungi 80% daripada biodiversiti daratan dunia.

Usaha memulihkan hutan hujan tropika dan menangani kehilangan biodiversiti di
Malaysia adalah tumpuan TRCRC sejak penubuhan kami pada 2012. Kami berbesar hati Zurich Malaysia memahami keperluan mendesak dan kepentingan usaha pemuliharaan serta sudi bekerjasama dengan kami.

Selain daripada menanam pokok, kami akan membina ekosistem yang berdaya tahan dan berfungsi memelihara kepelbagaian biologi dan menyediakan mata pencarian
yang mampan untuk komuniti tempatan yang terlibat.”

Usaha Zurich Malaysia dan TRCRC merangkumi penubuhan dua Plot Koleksi Hidupan Hutan Hujan Tropika (TRLC) seluas 1.5 hektar di Merisuli, kawasan pemuliharaan yang diwartakan di Lahad Datu, Sabah.

Plot ini penting untuk pengumpulan data dan penanaman pokok Sangat Terancam, Terancam Dan Jarang Ditemui (ERT) dalam persekitaran terkawal untuk mengelakkan
kepupusannya.

Selain itu, kawasan seluas 15 hektar di Merisuli akan ditanam semula dengan dipterokarpa ERT menjelang 2025, sekaligus memperluaskan tapak sedia ada TRCRC seluas 224 hektar dalam Projek Pengurusan Hutan Lestari Ulu Segama-Malua.

Sokongan Zurich Malaysia akan memberikan kesinambungan dalam kerja-kerja penyelenggaraan, bancian dan pemantauan.

Untuk menjadikan matlamat kami satu realiti – iaitu menjadi antara syarikat yang paling bertanggungjawab dan memberi impak positif di dunia, kerjasama ini juga membantu menyokong mata pencarian komuniti tempatan dan orang asli, dimana mereka merupakan pihak berkepentingan utama projek ini.

Ia menambahkan peluang pekerjaan yang sedia ada sambil membangunkan juara pemuliharaan tempatan ke arah memastikan kejayaan usaha pemuliharaan in-situ.

Kolaborasi Zurich Malaysia bersama TRCRC turut melengkapi projek pemuliharaan sedia ada Zurich Insurance Group di Hutan Atlantik Brazil, dimana syarikat bekerjasama dengan Instituto Terra untuk menanam dan menanam semula satu juta benih pokok dalam tempoh lapan tahun untuk membina semula hutan sub-tropika yang selenggara sendiri.

Walaupun pemeliharaan dan pemuliharaan habitat kekal menjadi fokus utama dalam strategi keseluruhan usaha menangani perubahan iklim Zurich, syarikat turut menggunakan setiap aspek seperti pelaburan, operasi, serta produk dan perkhidmatan untuk mencapai pelepasan sifar bersih didalam operasinya menjelang 2030.