Pasaran kecantikan dan kesihatan global dianggarkan bernilai lebih daripada USD1.5 trilion, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 5-10%, menurut McKinsey.

Persepsi kecantikan telah berkembang selama bertahun-tahun di mana kesihatan secara
keseluruhannya menjadi keutamaan. Kini, pengguna melihat kesihatan melalui lensa yang lebih luas dan sofistikated, merangkumi bukan sahaja kecantikan dan penampilan tetapi kecergasan, pemakanan dengan kesihatan fizikal dan mental secara keseluruhan sebagai matlamat peribadi.

Walaupun nilai pasaran telah meningkat, industri ini masih dibelenggu dengan isu. Kaedah jualan keras dengan gimik, peras ugut emosi dan mempersendakan tubuh badan adalah antara taktik negatif yang biasa digunakan untuk menaikkan jualan.

Walaupun jualan meningkat, strategi yang tidak sihat ini memberi tekanan dan mengugut pelanggan dan memberi tempias yang negatif kepada industri kecantikan secara keseluruhan.

Menurut Persatuan Pengguna Singapura, industri kecantikan menerima aduan pengguna tertinggi berbanding industri lain. Antara yang disebut dalam aduan ialah taktik penjualan agresif yang diamalkan oleh sesetengah pemain industri ini.

Hari ini dengan matlamat untuk mengubah persepsi industri, firma kecantikan dan kesihatan Beauty & Co. mengadakan acara bertajuk ‘Selling with Love’, di mana syarikat telah bekerjasama dengan penceramah antarabangsa dan pengarang buku ‘Selling with Love: Earn with Integrity and Expand Your Impact’, Jason Marc Campbell.

“Saya percaya bahawa kita mesti meningkatkan kesedaran dengan berkongsi ilmu tentang nilai tanggungjawab dalam cara kita menjual, memasarkan, melayan pekerja dan juga cara perniagaan melabur wang mereka.

“Kaedah ini relevan untuk semua industri, terutamanya industri kecantikan dan
kesihatan,” kata Jason Marc Campbell.

Bercakap pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Beauty & Co. Yap Yann Fang berkata “Jualan secara agresif adalah isu utama dalam industri kecantikan dan kesihatan. Taktik itu boleh memberi keuntungan jangka pendek, tetapi lama kelamaan, ia akan merosakkan reputasi industri secara amnya.

“Berikutan permintaan yang kini telah meningkat semula, inilah masa yang sesuai untuk menangani isu-isu termasuk standard integriti dalam industri dan penjualan secara agresif,”katanya.