Sempena pembukaan semula bazar Ramadan di seluruh negara pada tahun ini, dijangkakan aktiviti penjualan hidangan berbuka puasa akan meningkat selaras dengan tujuan memulihkan ekonomi tempatan negara.

Dianggarkan lebih kurang 231 buah lokasi bazar ramadan boleh didapati di negeri Selangor bagi tujuan tersebut. Namun, dalam kerancakan penjualan makanan di bazar, pihak Jabatan ingin mengingatkan para peniaga makanan dan minuman agar sentiasa peka dengan elemen keselamatan makanan.

Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kejadian keracunan makanan yang boleh membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan sekiranya tiada rawatan segera diberikan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan bagi memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk dimakan, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis makanan akan dipergiatkan.

Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ini akan dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan secara berkala. Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan membuat pensampelan makanan terutama ke atas makanan yang berisiko tinggi seperti yang berasaskan santan, daging, telur dan lain-lain bagi menjamin keselamatan makanan kepada pembeli.

Beliau juga menyeru kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan agar memastikan setiap pengendali makanan yang terlibat dalam jualan hendaklah memastikan latihan pengendali makanan telah dihadiri dan suntikan anti tifoid diambil terlebih dahulu.

Para peniaga juga disarankan untuk memastikan bekalan makanan adalah selamat, menjaga kebersihan diri dan kawasan jualan serta memastikan tiada risiko pencemaran silang.

Beliau juga mengingatkan para peniaga agar memastikan makanan yang dijual perlulah yang disediakan setiap hari dan bukannya memanaskan baki makanan yang tidak habis dijual pada hari-hari sebelumnya.

Bagi penjualan berasaskan minuman pula, para peniaga dipohon untuk memastikan sumber bekalan air hendaklah dari sumber yang selamat, manakala sumber bekalan ais hendaklah dari kilang ais yang berlesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Senarai kilang ais yang berlesen boleh diperolehi menerusi laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.fsq.moh.gov.my. Pengendalian air dan ais hendaklah dalam keadaan bersih, selamat dan terhindar daripada risiko bahaya kimia, fizikal dan mikrobiologi.

Bekas simpanan air dan ais mestilah sentiasa berada didalam keadaan bersih dan tidak bocor.