Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), hari ini menganjurkan acara pencarian produk berasaskan minyak sawit, selama satu hari dan disertai 40 pengeluar tempatan, bertujuan membina jenama dan produk-produk Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui kerjasamanya dengan Lulu Group International (Kumpulan Lulu).
Inisiatif ini adalah susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MPOC dan Kumpulan Lulu semasa acara World Expo 2020 di Dubai
baru-baru ini dan misi perdagangan serta pelaburan yang diketuai oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) pada tahun 2021.
Objektifnya adalah untuk membantu para pengeluar produk berasaskan minyak sawit tempatan memastikan produk-produk mereka termasuk minyak masak, kosmetik, minuman, makanan sejuk beku, farmaseutikal dan produk kuih-muih mudah didapati di pasaran UAE melalui rangkaian pasaraya Lulu.
Syarikat-syarikat yang terpilih adalah tambahan kepada enam pengeluar tempatan yang
sedang membekalkan produk kepada Pasaraya Lulu di Silicon Oasis, Dubai dalam kempen
pengguna MPOC ‘Malaysia Palm Oil Full of Goodness’ yang sedang berlangsung dari
Februari hingga April 2022.
Wan Aishah Wan Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, berkata kempen itu telah berjaya
dengan MPOC dan Kumpulan Lulu memperluaskan perkongsian mereka untuk mendapatkan lebih banyak produk berasaskan minyak sawit daripada pengeluar Malaysia
bagi dijual di pasaraya Kumpulan Lulu di UAE.
“Kami teruja dengan perkongsian ini kerana kami percaya ia boleh membantu mengembangkan kehadiran, mempromosi dan menjual jenama tempatan kami di pasaran
antarabangsa melalui rangkaian pasaraya Lulu di UAE.
Ini adalah sebahagian daripada inisiatif global berterusan MPOC untuk mempromosikan dan menyebarkan kesedaran tentang kebaikan dan faedah minyak sawit Malaysia kepada pengguna,
“Sementara MATRADE telah bekerja tanpa jemu dalam membantu kami menembusi pasaran antarabangsa, Lulu International Group telah memainkan peranan penting dalam
mempercepatkan penembusan pasaran antarabangsa tersebut dengan membenarkan
pengeluar tempatan yang terpilih ini mempamerkan, mempromosi dan menjual produk-
produk berasaskan minyak sawit mereka di rangkaian pasaraya Lulu yang terletak di UAE,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz, kerjasama
strategik di antara MATRADE dan MPOC menandakan kepentingan sinergi dalam
ekosistem perdagangan bagi mengukuhkan daya saing perdagangan Malaysia.
Usaha untuk mengukuhkan perdagangan antara kedua-dua negara diteruskan dengan MATRADE mendahului dalam mewujudkan tapak kukuh bagi produk dan perkhidmatan Malaysia khususnya FMCG dan produk-produk berasaskan pengguna yang sedia untuk dieksport bagi meningkatkan perdagangan Malaysia di UAE.
“UAE adalah pasaran penting bagi Malaysia di Asia Barat. Selain sebagai rakan komersial
utama Malaysia, negara ini berfungsi sebagai pintu masuk ke rantau Timur Tengah dan
Afrika Utara (MENA) kerana lokasi geografinya yang strategik serta asas ekonomi yang
kukuh.
“Pada 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat 7.9 peratus berbanding
tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh peningkatan jumlah eksport, 24.7 peratus yang bernilai RM10.59 bilion (USD2.83 bilion),” tambah Mustafa.
Pada tahun lepas, rantau Timur Tengah mengimport 1.85 juta tan mjinyak sawit Malaysia,
meningkat 9.2% berbanding tempoh yang sama pada 2020. Negara seperti Turki, Iran, Arab Saudi dan UAE menyumbang 84% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia di
kawasan Timur Tengah.
Menurut kajian, pasaran minyak sawit UAE dijangka mencecah 400,000 tan menjelang
2025, dan MPOC bersedia untuk memanfaatkan permintaan ini dengan bekerjasama rapat
dengan pihak berkuasa kerajaan dan badan perdagangan di UAE untuk menyediakan
peluang-peluang pasaran baharu kepada jenama-jenama Malaysia melalui perkongsian
pengeluaran dan pengedaran dengan syarikat-syarikat di UAE.
“MPOC juga sedang berusaha untuk bekerjasama dengan rangkaian pasaraya besar lain di
rantau ini bagi membolehkan lebih ramai pengeluar berasaskan minyak sawit Malaysia
mengembangkan pasaran mereka ke seluruh dunia.
“Kami amat berharap inisiatif eksport ini akan menjadi kesinambungan dengan lebih banyak pasaraya dan kedai-kedai perniagaan di rantau ini membuka lebih banyak pintu untuk minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia.
“Sebagai salah satu pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit di peringkat global, kami sedang memenuhi keperluan global untuk minyak dan lemak yang semakin meningkat dan membantu memastikan keselamatan makanan di dunia,” kata Wan
Aishah.