Hab ini akan membantu mempercepatkan penciptaan kes penggunaan industri yang digerakkan oleh 5G, AI, IoT dan teknologi termaju lain, sekali gus menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan
MIMOS, Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah menjalin kerjasama untuk membina Hab Inovasi 5G dan AI.
Hab yang terletak di MIMOS ini akan membantu mempercepatkan kes penggunaan industri (Industrial use-cases) yang digerakkan oleh 5G, Internet Benda (IoT), Pengkomputeran Awan dan Kecerdasan Buatan (AI).
Apabila mula beroperasi sepenuhnya, hab ini akan menjadi co-creation testbed untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inkubator untuk penyelesaian inovatif, di mana ia bakal memberi akses kepada perusahaan untuk menggunakan infrastruktur dan kemudahan yang didayakan oleh teknologi canggih.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Dr Iskandar Samad berkata: “Aktiviti R&D kami yang dipacu pasaran tertumpu kepada melahirkan pemain teknologi tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pasaran, serta mempunyai potensi keboleheksportan untuk masa depan.
“Adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi sebuah tempat yang boleh menghasilkan penyelesaian inovatif AI dan 5G secara global. Dengan ekosistem inovasi yang kukuh, ia dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada industri,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata: “Di Maxis, kami sentiasa komited untuk menyokong agenda digital negara. Kerjasama ini adalah penting untuk merungkai potensi besar teknologi canggih yang boleh digunakan oleh industri.
Dengan berbekalkan kepimpinan dalam rangkaian, perkhidmatan digital dan penyelesaian keterhubungan, kami akan bersama-sama membawa teknologi terbaik untuk membolehkan orang ramai, perusahaan dan negara sentiasa berada di hadapan dalam dunia yang sentiasa berubah.”
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan berkata: “Sebagai penyedia infrastruktur ICT global dan peranti pintar terkemuka serta dengan pengalaman kami yang luas dalam 5G, Pengkomputeran Awan dan AI; Huawei akan menyediakan infrastruktur, berkongsi pengetahuan dan khidmat nasihat tentang amalan terbaik.
Kami telah terbukti mempunyai kepakaran dalam bidang ini dengan bilangan kes penggunaan komersil terbanyak di peringkat serantau dan global, dan kami beriltizam untuk membawa pengalaman ini ke Malaysia.
“Hab ini juga akan membolehkan rakan kongsi dalam ekosistem tempatan menggunakan teknologi 5G, AI dan Pengkomputeran Awan. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami ke arah inovasi bersama, dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan rakan strategik kami dalam berinovasi untuk memajukan ekonomi digital Malaysia.”