Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut ulang tahun ke-10 sejak mula beroperasi sedekad yang lalu pada 2012.

Sepanjang tempoh tersebut organisasi ini telah memainkan peranan utama dalam memupuk dan membangun bakat Bumiputera untuk menjadi modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Yayasan Peneraju ditubuhkan dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan
kerelevanan bakat Bumiputera melalui program pembiayaannya dan menunjukkan
kemajuan yang membanggakan semenjak itu.

“Selepas 10 tahun mengubah kehidupan ramai individu daripada didikan dan latar belakang
berbeza, kami mempunyai banyak sebab untuk meraikannya.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi pencapaian utama kami dalam tempoh 10 tahun yang lalu, sambil bergerak ke hadapan untuk menyediakan peluang dan masa depan yang lebih cerah untuk bakat berpotensi negara dan memperkukuhkan lagi modal insan kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kol Bersekutu (PA) Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail.

“Sejak penubuhan yayasan, kami telah berkembang dengan pesat dalam pelbagai bidang yang mendapat permintaan tinggi melalui pelbagai program pembiayaan yang ditawarkan.

Kami telah memainkan peranan besar dalam memacu sektor pendidikan khususnya dalam memupuk dan membangun lebih 46,000 bakat Bumiputera melalui lebih 370 program
pembiayaan dan kami berbangga dengan pencapaian ini.

“Kami akan terus membina kapasiti, mewujudkan kerjasama dan terus komited dalam
memperkukuh bakat Bumiputera untuk menjadi lebih relevan dan mampan. Di sepanjang
perjalanan ini pasti ada cabaran dan ia bukannya satu perjalanan yang mudah, tetapi
dengan kerjasama semua pihak yang terlibat, kami beriltizam untuk meneruskan misi kami
dengan semangat dan keazaman”.

Pada 2012, Yayasan Peneraju ditubuhkan dengan Raja Azura Raja Mahayuddin dilantik
sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pertama sehingga 2019, dan Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop sebagai Menteri pertama yang menyelia.

Di bawah kepimpinan Raja Azura, Yayasan Peneraju telah menunjukkan kecekalannya
apabila berjaya memberi manfaat kepada lebih 25,000 individu melalui lebih 200 program
pembiayaan pensijilan akademik, vokasional dan profesional di seluruh Malaysia.

Memulakan operasinya dengan hanya tiga teras utama iaitu Peneraju Tunas (akademik),
Peneraju Skil dan Peneraju Profesional, Yayasan Peneraju telah berkembang dengan dua
teras tambahan iaitu Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis untuk memberi manfaat
kepada kumpulan yang lebih besar dengan penawaran program yang lebih meluas.

Setakat 31 Disember 2021, Yayasan Peneraju telah berjaya memberi manfaat kepada:
 14,470 individu dalam program akademik peringkat rendah, menengah dan tertiari
 20,681 individu dalam TVET dan program pensijilan berkemahiran tinggi
 8,215 individu dalam perkhidmatan perniagaan, kewangan dan program pensijilan
profesional perakaunan
 3,163 individu dalam program pensijilan berasaskan teknologi
 149 individu dalam program pakar perubatan khusus

Bersempena ulang tahun ke-10 Yayasan Peneraju, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), yang kini menyelia Yayasan Peneraju
berkata, Yayasan Peneraju adalah fasilitator yang membantu meningkatkan kualiti, kuantiti
dan kerelevanan bakat Bumiputera, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membawa
Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Kami berharap Yayasan Peneraju akan sentiasa berusaha untuk melahirkan generasi bakat
yang mampu menyumbang ke arah peningkatan sosio-ekonomi negara kita,” tambah Dr
Latif.

Yayasan Peneraju komited untuk memacu dan memperkasakan agenda Bumiputera serta
merancang untuk memperluaskan penawaran programnya bagi memastikan kumpulan
sasar menjadi lebih inklusif selaras dengan dasar utama negara seperti RMK-12 dan
TPB2030.

“Aspirasi kami adalah untuk menjadi pemangkin dalam melahirkan modal insan yang serba
boleh, berkemahiran tinggi dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada sosio-
ekonomi negara.

“Bertanggungjawab sebagai penyumbang, Yayasan Peneraju akan terus
memikul mandat dalam membangunkan modal insan supaya bakat kita mempunyai
keupayaan yang sesuai untuk bersaing dalam pasaran kerja dan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengejar peluang pekerjaan yang bernilai dan berimpak tinggi,” kata Mohd Muzzammil.