Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Golf R serba baharu yang merupakan model utama, sekali gus melengkapkan lagi penawaran keluarga Golf serba baharu di Malaysia.

Sebagai sebuah hatchback berprestasi tinggi, Golf R telah mencipta dan memecahkan banyak rekod di seluruh dunia.

Tarikannya di atas jalan raya dan litar cukup kuat kerana ia merupakan salah sebuah model yang paling serba boleh di pasaran. Ini menjelaskan kenapa lebih daripada 250,000 unit Golf R telah dihasilkan dan dijual di seluruh dunia.

Golf R serba baharu menyerlah kerana ia jauh lebih berprestasi berbanding model-model terdahulu dan ia merupakan model R yang paling berkuasa setakat ini.  Menawarkan kuasa mencecah 320PS dan tork 400Nm daripada enjin turbo 2.0TSI terkini yang dipadankan bersama kotak gear DSG 7-kelajuan, ia sememangnya menjanjikan prestasi hebat buat mereka yang mahukan terbaik.

Prestasi pemanduan dibawa ke satu tahap baharu menerusi sistem pacuan semua roda 4MOTION dengan ciri Performance Torque Vectoring.

Sistem pintar dan inovatif ini membolehkan kuasa diagihkan bukan sahaja di antara gandar hadapan dan belakang, malah secara selektif di antara roda belakang. Ini secara langsung dapat meningkatkan kelincahan R dengan signifikan, terutama ketika mengambil selekoh. Ia menjadi model pertama Volkswagen yang dipasang dengan sistem ini.

Sistem Vehicle Dynamics Manager (pengurusan dinamik kenderaan) pada R diintegrasikan dengan sistem-sistem lain seperti electronic differential locks (XDS), dynamic chassis control (DCC) dan stereng yang progresif untuk memberikan cengkaman optimum serta pengendalian terbaik dengan tahap ketepatan luar biasa.

Prestij model R dapat dilihat pada ruang dalamannya melalui penawaran ciri premium iaitu sistem audio Harman Kardon bersama 10 unit pembesar suara. Sistem berkenaan menawarkan kualiti akustik yang terbaik untuk pengalaman audio yang mengasyikkan.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter yakin bahawa kehadiran Golf R serba baharu ini akan memberi impak. “Golf R ialah permata pada mahkota Volkswagen.

Generasi kelapan R melangkaui had yang boleh dilakukan pada sebuah Golf. Kami berbesar hati untuk memperkenalkan model luar biasa ini di sini dan yakin ia akan dapat melepasi apa jua ekspektasi.”

Jentera ini hadir dalam tiga warna iaitu warna signatur Lapiz Blue (biru), serta Deep Black (hitam) dan Pure White (putih).

Golf R serba baharu adalah model import dan ditawarkan pada harga RM356,412.85 (tanpa cukai jualan). Ia hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.