Memiliki jam tangan pintar semakin menjadi trend masa kini apatah lagi peranti ini ditawarkan kebanyakan pengeluar telefon pintar popular dan tidak ketinggalan jenama terkemuka dari Oppo.

Setiap jam ini pula memiliki ciri pintar tersendiri yang menjadi mercu tanda dalam membezakannya dengan pesaingnya dan tidak hanya mempertaruhkan sekadar jenama semata-mata.

Terkini, Oppo Watch Free, jam tangan ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan vanilla, dilengkapi rekaan jam tangan bermuka segi empat tanpa sebarang butang fizikal padanya.

Prebiu.com yang diberi peluang membuat ulasan ‘pandang pertama’ jam pintar ini cukup teruja melihat kekemasan kotak jam serba putih yang lengkap dengan wayar pengecas dan dua buku panduan dalam pelbagai bahasa.

Rekabentuk

Oppo Watch Free menampilkan panel kaca 2.5D melengkung yang kalis calar dan tali jam yang diperbuat daripada silikon yang tahan lasak.

Sekali pandang, rekaan jam pintar ini kelihatan mewah apabila dihiasi saduran emas pada bingkainya dan sesuai digayakan sesiapa sahaja apatah lagi warna Vanilla ini amat padan dengan pemakainya seorang wanita.

Meskipun jam ini hanya seberat 20 gram dengan berat keseluruhan bersama tali jam ialah 32 gram, tidak terasa beratnya dan amat selesa memakainya disebabkan rekaan talinya tidak melekat pada kulit.

Ciri Pintar

Oppo Watch Free mempunyai paparan skrin bersaiz 1.64-inci AMOLED dengan resolusi 280 x 456 piksel.

Menurut Oppo, ia juga menyokong sehingga 40 pilihan muka jam yang boleh diubah mengikut kesesuaian dan gaya pemakai, malah salah satu ciri muka jam membolehkan anda meletakkan gambar sendiri atau sesiapa sahaja. Canggih bukan!

Spesifikasi lain termasuk bateri 230mAh dengan ketahanan maksimum 14 hari, kemampuan kalis air 5ATM (50 meter), bluetooth 5.0 dan sebagainya.

Anda hanya perlukan masa mengecas 5 minit untuk penggunaan seharian manakala 20 minit diperlukan untuk pengecasan seminggu dan 75 minit untuk penggunaan selama 14 hari.

Pelbagai fungsi

Jam pintar ini dilengkapi pelbagai ciri terkini antaranya, notifikasi mesej, panggilan masuk, menolak panggilan, penggera jam, kawalan muzik dan ciri mencari telefon.

Oppo Watch Free ini juga akan merekod secara automatik apabila mengesan sebarang pergerakan oleh pengguna apabila melakukan senaman dikenali sebagai ciri Smart Recognition Modes dengan lebih 100 mod senaman disediakan.

Kesimpulan

Jam pintar ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi dan harganya belum diketahui lagi namun difahamkan ia bakal dijual pada harga yang mampu milik. Nantikan laporan penuh reviu peranti ini di Prebiu.com.