Perodua menjangka dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6% tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) 610,000 berbanding 37.4% bahagian pasaran pada 2021.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata ramalan 610,000 TIV adalah unjuran dalaman Perodua kerana syarikat tersebut percaya pasaran mampu melepasi sasaran 600,000 TIV yang ditetapkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

Beliau berkata, Perodua melihat jaminan daripada kerajaan bahawa langkah-langkah
dalam membendung wabak Covid-19 menunjukkan kejayaan dan penutupan tidak
akan berlaku lagi.

Tahun ini, kami menjangkakan untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 % lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dihasilkan pada 2021.

“Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5% iaitu kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021.

“Pemulihan ini akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat kerana
permintaan terhadap kenderaan masih kukuh,” katanya.

“Untuk tahun ini, permintaan adalah kukuh bagi semua model kami dengan Myvi mendahului dengan mencatatkan sebanyak 47,525 unit diikuti Axia 43,080 unit, Bezza 42,698 unit, Ativa 26,847 unit, Aruz 15,313 unit dan Alza 14,828 unit.

“Sejak ia dilancarkan pada 18 November 2021, Perodua telah menghantar 7,055 Myvi Baharu dengan tempahan mencecah 31,154 unit sejak 9 November 2021,” katanya.

Dato’ Zainal menjelaskan bahawa inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan masih menjadi insentif yang terbaik buat pengguna untuk membeli kereta baharu mereka.

“Jumlah tempahan kami untuk kenderaan baharu masih sihat dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan dan ini bermakna kami dapat memenuhi tempahan yang tertunggak tepat pada masanya,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi 2021, Dato’ Zainal berkata tahun ini amat mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis di sepanjang tahun.

Bagi 2021, Perodua menjual 190,291 kenderaan, iaitu 13.6% kurang berbanding 220,163 kenderaan yang didaftarkan pada 2020.

“Oleh yang demikian, kami telah banyak belajar daripada situasi ini dan telah mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memastikan kami dapat menghadapinya dengan lebih baik sekiranya krisis seumpama ini berulang lagi,” katanya.

Merujuk kepada banjir yang berlaku pada Disember dan awal Januari tahun ini, Perodua telah menerima hampir 2,103 kes banjir di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 366 kenderaan telah dibaiki dan dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Kemasukan kenderaan Perodua ke pusat servisnya adalah sebagai tindakan kepada Program Bantuan Banjir Perodua yang ditawarkan syarikat itu yang terdiri daripada
diskaun 50% untuk alat ganti standard, kos buruh percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma 24 jam melalui nombor hotline Perodua 1800-88-5555.

Selain itu, Kementerian Kewangan pada 7 Januari 2022 telah mengumumkan inisiatif baucar RM1,000 untuk membantu rakyat Malaysia yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Baucar diskaun automotif, yang bertarikh luput pada 31 Mac 2022, boleh digunakan untuk membuat tuntutan terhadap pembaikan kenderaan persendirian yang rosak akibat banjir atau untuk menggantikan kenderaan yang mengalami kerosakan total.