Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung UMT, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican meluangkan masa menghadiri Program ‘Sembang Integriti Bersama NGO’ anjuran Unit Integriti UMT.

Dihoskan oleh moderator dari Unit Integriti iaitu Mohd Juhari Ab Kadir, program yang dijalankan secara dalam talian ini menggunakan aplikasi Cisco Webex dan disiarkan secara langsung di akaun rasmi Facebook Unit Integriti, UMT.

Menurutnya, objektif program ini adalah meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa betapa pentingnya integriti dalam aktiviti kesukarelawan.

Mustapha menunjuk buku nilai nilai Islam satu pengenalan terbitan Jakim kepada Mohd Juhari Ab Kadir (kiri ) ketika sembang intergiti bersama Tokoh NGO di UMT

Dato’ Dr. Mustapha telah berkongsi pengalaman dan pendapat untuk menjadi sukarelawan yang berintegriti.

Antara yang disampaikan oleh beliau ialah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang mahasiswa iaitu sentiasa berfikiran positif, bersemangat, berkeyakinan serta berani dalam mendepani cabaran.

Beliau juga mengajak mahasiswa untuk terus bercita-cita tinggi dan berusaha untuk mencapai impian kerana tidak ada individu lain yang boleh menjayakan impian kita melainkan diri sendiri.

Mustapha (kiri ) bersama ketua unit intergiti UMT, Mohd juhari Ab Kadir (kanan)

“Keterlibatan kita melibatkan diri dalam aktiviti NGO akan memberi kita banyak pengalaman yang boleh mematangkan pemikiran kita. Ia secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan rasa saling hormat menghormati kerana kita melihat pelbagai keadaan masyarakat di sekeliling kita,” katanya.

Mustapha yang mempunyai pengalaman selama 33 tahun dalam NGO turut berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi.

Antaranya ialah mendapatkan sumbangan dana, kerjasama antara ahli dalam menyampaikan bantuan agar dana yang diperolehi tidak disalah guna serta berlaku penyelewengan dan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti sukarelawan perlu ada ketua atau pemimpin yang kreatif, adil dan paling penting berintegriti.

Cabaran-cabaran di luar negara pula ialah berhadapan dengan pelbagai undang-undang, peraturan, budaya, bahasa, agama, keadaan cuaca serta konflik setiap negara yang dilawati dalam usaha menyampaikan bantuan misi kemanusiaan yang telah diamanahkan.

Beliau turut berkongsi pengalaman menghantar bantuan di negara yang terlibat dalam peperangan. Berhadapan dengan serangan tembakan curi, periuk api, kesukaran untuk bergerak serta lain-lain masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Banyak pengalaman dan pengajaran berharga yang kita perolehi darinya tetapi apa yang penting sukarelawan harus mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat dalam mendepani pelbagai cabaran,” ujarnya.

Mustapha juga berharap segala ilmu yang disampaikan dapat memberikan kesedaran kepada mahasiswa kerana merekalah yang bakal memimpin negara dan merekalah yang akan mencorak masa depan pentadbiran ke arah yang lebih berintegriti.