Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan kolektif seni media baharu Filamen hari ini mencipta sejarah apabila melancarkan Accelerated Futurescapes, satu koleksi NFT Arteon yang eksklusif.

Empat karya seni kripto yang pertama seumpamanya itu dihasil berdasarkan kepada model utama Volkswagen. Ia boleh dibeli di Pentas, satu platform peneraju NFT di Asia Tenggara yang dikuasakan oleh Binance Smart Chain.

NFT tersebut juga dipamerkan dalam galeri maya Filamen dan dikurasi bersama oleh platform penyelidikan reka bentuk, No-to-scale.

NFT atau non-fungible tokens merupakan aset-aset digital unik berasaskan kepada teknologi blok rantai (blockchain) yang membolehkan pemilikan secara digital. Setiap satu karya seni diperakui secara unik dan tiada karya seni yang sama dengannya. Ia dijangka
dapat menarik minat pengumpul seni dan peminat Arteon.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkongsi keterujaan jenama ini untuk menjadi sebahagian daripada dunia NFT. “Volkswagen sentiasa meneraju inisiatif digitalisasi di Malaysia dan kami akan berusaha untuk terus menlangkaui sempadan digital.”

“Peluang untuk memperkasakan artis-artis tempatan dan menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka dalam meneroka serta meluaskan kreativiti mereka memberi inspirasi kepada kami.

Kolaborasi ini turut menyerlahkan Arteon yang menawarkan kombinasi sempurna di
antara rekaan avant-garde dan pengendalian dinamik. Menerusi kolaborasi ini, kami sekali lagi menetapkan standard baharu. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Filamen kerana merealisasikan impian ini bersama kami,” katanya.

Pengasas bersama Filamen, Abdul Shakir Abu Samah mempunyai pandangan sama dengan Erik mengenai kolaborasi ini. “Ia sememangnya satu perjalanan yang mengujakan buat kami di Filamen.

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Volkswagen atas peluang ini. Kami melihat projek ini sebagai satu eksplorasi digital hubungan di antara kereta dan bayangan estetik. Hasil seni ini juga merupakan bayangan-bayangan berbeza Arteon yang menunjukkan ia bukanlah sekadar sebuah kereta.

Apa yang ingin kami lakukan adalah untuk menyerlahkan emosi-emosi manusia yang diinspirasikan oleh Arteon.”

Dua orang artis filamen yang berbakat, Syed Mohamad dan Jason Choo dipilih untuk menghasilkan NFT tersebut. Mereka berjaya menghasilkan visi masa depan luar biasa yang diinspirasikan daripada reka bentuk dan prestasi Arteon dari segi bunyi, bentuk dan segala perinciannya.

Kerja seni Syed bertemakan ‘tenaga’ dan ‘pergerakan’ yang dipaparkan dalam satu landskap beralun yang terdiri daripada aliran dan partikel-partikel. Walaupun berbentuk digital, kerja seni itu menggambarkan fenomena semulajadi seperti ombak di lautan – satu hasil seni yang memukau dan puitis dalam satu kerangka kerja teknologikal yang tidak
dapat dilihat.

“Projek ini telah membuka mata saya untuk melihat sebuah kereta dari satu perspektif yang berbeza. Peluang untuk meneroka setiap inci Arteon dan mengekspresikan emosi saya menerusi seni, pada masa sama tidak hanya berpegang kepada gaya artistik saya, tetapi DNA Arteon memang satu pengalaman yang luar biasa,” kata Syed.

Dimana hasil seni Syed lebih abstrak, Jason pula fokus kepada imej-imej fiksyen. Minatnya lebih kepada aspek prestasi kereta dalam dunia yang penuh khayalan.

Menggunakan tema seperti ‘kehidupan’ dan ‘terbang’ untuk menggambarkan dimensi Arteon yang sukar diterangkan, hasil kerja Jason bertindak sebagai perantara di antara
dirinya dengan audiens, menggambarkan perasaan seorang artis terhadap Arteon.

Projek NFT ini merupakan kerjasama seni kali kedua yang menampilkan Arteon. Pada tahun 2019, VPCM telah berkolaborasi dengan galeri seni Wei-Ling Contemporary untuk menghasilkan “Makings of a Masterpiece” yang menampilkan 13 Seni Kereta Arteon oleh 13 orang artis tempatan. Ia kemudiannya berjaya dilelong bagi tujuan kebajikan.