Oleh Adam Salleh

Dunia fesyen tanah air dikejutkan dengan pemergiaan Putra Aziz, 45, pada Khamis lalu. Di kalangan artis dan wartawan, Putra Aziz tergolong pereka fesyen terkenal, apatah lagi Cosry diusahakan bersama Ariff Quasry sejak 2004 mula mendapat perhatian selebriti dan golongan korporat.

Di kalangan beratus pereka fesyen tempatan, ramai tidak menyedari Putra Aziz berasal dari Acheh. Kita sedia maklum, Acheh negara susur galur melahirkan insan seni terkenal umpamanya Seniman Agung, P.Ramlee, Abdullah Hussein (sasterawan negara), Hamzah Fansuri dan Putra Aziz sendiri.

Biarpun cabang seni mereka berbeza, namun asasnya tetap sama iaitu seni kurniaan Illahi itu seharusnya diimplementasi untuk masyarakat menikmatinya. Fitrah inilah mendorong Putra Aziz meninggalkan kampung halaman untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar 20 tahun lalu.

Putra Aziz (kanan)

Hidup sebatang kara di rantau orang bak untung sabut timbul untung batu tenggelam. Diperdaya pelanggan pada tahun awal beroperasi itu lumrah, tetapi Putra Aziz dan Ariff tidak menyerah kalah.

Bersandarkan kreativiti, sifat ramah serta rakan kongsi yang bijak mengatur strategi promosi, Cosry tidak mengambil masa lama untuk jenamanya setanding dengan butik popular tanah air yang lain.

Ikut perancangan, Cosry sedang merangka program menganjurkan dua pertunjukan fesyen bertaraf mega pada awal 2022 ini. Rakan baik Putra Aziz, Nor Akmar Samudin sempat menemui beliau dua minggu lalu masih terbayang bersemangatnya Putra Aziz untuk kembali beraksi di dunia fesyen.

Hampir dua tahun dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kata Akmar, Putra Aziz masih dapat memanfaatkan kelebihan tangannya itu beralih ke perniagaan makanan tempatan dan Barat.

“Fesyen itu jiwa Putra Aziz dan apabila ada pihak sudi menaja, beliau beria-ria bercerita kepada saya tidak sabar untuk menjayakan dua pertunjukan fesyen yang dikatanya bertaraf mega itu.

“Bidang makanan diceburi sepanjang PKP adalah untuk survival kerana aktiviti fesyen berhenti sejak pandemik. Sebagai bekas wartawan, saya terharu adanya insan seperti Putra Aziz yang memberi peluang kepada kami berkolaborasi bagi memanfaatkan kelebihan kedua-dua pihak,” katanya.

Akmar bekas wartawan senior Harian Metro bersama rakan kongsinya, Azri Abdul Radzi Arshad dari IM Channel sempat menziarahi jenazah Putra Aziz daripada petang Khamis sehingga dikebumikan.

Menurutnya, perasan hiba sukar dibendung mengenangkan sahabatnya itu baru meraikan ulangtahunnya ke-45 tahun pada 24 November lalu seperti mengetahui ajalnya kian menghampiri.

 “Kalau tidak kerana PKP, Putra Aziz akan balik ke Acheh menemui keluarganya. Biarpun ibu bapanya sudah tiada, tetapi adik beradiknya ada di sana. Terasa aneh baru-baru ini kata Ariff, Putra Aziz menghantar mesej WhatsApp keluarganya di Acheh berseloroh andai dia mati, mahu jenazah dikuburkan di sini.

“Saya tidak sangka Putra Aziz pergi secepat dan semuda ini. Lebih terkilan sewaktu kali terakhir berjumpanya, dia mengadu sakit kepala sejak kebelakangan ini apabila terasa panas dan berasa seperti nak pecah.

“Pendengarannya juga tidak jelas, hinggakan ada kala saya terpaksa bercakap berulang kali. Tidak sangka pula perubahan itu adalah tanda perpisahan daripadanya kepada saya,”katanya.  

Jenama Cosry yang diusahakan Putra Aziz dan Ariff Quasry pernah menjadi pilihan artis dan selebriti Erra Fazira, Siti Nurhaliza, Lisa Surihani, Sheikh Muszaphar Shukor dan Bunga Cinta Lestari.

Jenazah Allahyarham Putra Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Segambut pada pagi Jumaat lalu. AL-FATIHAH